Thursday 13 July 2017

Marah Shisha Disita, Samseng Samurai Serang MPKB-BRI


KOTA BHARU – Tiga lelaki yang berang dengan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyita peralatan shisha di premis mereka bertindak ganas malam tadi.

Dalam insiden dramatik di Persimpangan Paya Rambai, Jalan Bayam di sini kira-kira jam 10 malam Rabu, suspek bertindak balas menyerang kumpulan penguat kuasa itu semula dengan menggunakan pedang samurai dan parang.

Malahan dua buah kenderaan MPKB-BRI yang digunakan dalam menjalankan operasi banteras penjualan shisha di ibu negeri Kelantan ini berjaya dirosakkan oleh kumpulan suspek ala samseng tersebut sebagai balas dendam.

Lebih memeranjatkan lagi apabila suspek sama kemudian turut merosakkan dua buah kereta serta tingkap hadapan rumah Ketua Unit Operasi MPKB-BRI, Mohd. Halimi Md. Salleh yang terletak di Berek 12 di sini.

Kelibat tiga suspek itu berjaya dirakam kamera litar tertutup premis shisha tersebut yang memaparkan salah seorang bersemuka dengan Mohd. Halimi bagi memberi amaran supaya tidak mengganggu perniagaan mereka.

Lelaki itu yang gagal menahan kemarahan kemudian bertindak cuba menyerang pegawai tersebut. Menyedari kehadiran suspek bersenjata dan menyasarkan Mohd. Halimi, anggota MPKB-BRI yang lain bertindak pantas.

Mereka berjaya melindungi mangsa di dalam premis itu. Ketiga-tiga suspek dikatakan tidak berpuas hati setelah premis mereka yang menjalankan perniagaan jualan shisha berjaya diserbu dan beberapa peralatan dirampas.

“Suspek mencari saya untuk memberi amaran supaya tidak lagi mengganggu perniagaan shisha mereka yang sebenarnya menyalahi Seksyen 102 (2) Akta 171 Kerajaan Tempatan dan Undang-Undang Kecil Perniagaan.

“Suspek merosakkan dua kenderaan MPKB-BRI, sebelum mereka merosakkan dua buah kenderaan dan cermin tingkap hadapan rumah saya yang terletak di Berek 12 di sini,” katanya ketika ditemui media di sini malam tadi.

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments