Sunday 23 July 2017

Dua Peragut Rantai Tendang Mangsa Telah Dikenal Pasti


KUALA LUMPUR – Pihak polis telah mengenal pasti dua orang peragut yang menendang motosikal dinaiki dua wanita sehingga menyebabkan salah seorang daripada mereka cedera parah, Ahad lalu.

Menurut sumber yang dipetik media tempatan, pihak polis sudah memperoleh rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) kejadian terbabit dan menyatakan bahawa suspek yang terlibat telah dikenal pasti imejnya.

“Berdasarkan daripada rakaman CCTV yang diperoleh, dua suspek terbabit dikesan menaiki dua buah motosikal iaitu model Yamaha 135LC dan Y15.

“Masing-masing memakai topi keledar warna merah. Seorang daripada suspek memakai jaket hitam manakala rakannya berbaju ungu,” ujar pihak polis.

Tambahnya lagi, kini pihak polis sedang giat mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan suspek.

Dalam masa sama, beberapa rakaman CCTV sepanjang laluan kejadian terbabit berdekatan Jalan Genting Klang, sekitar pukul 12.30 tengah hari turut diambil bagi tujuan siasatan.

Dalam kejadian Ahad lalu, Fatin Dalila Aripin, 33, dan rakannya, Noradila Che Amat, 25, parah selepas motosikal yang dinaiki berlanggar dengan salah sebuah kereta ketika mengejar peragut.

Motosikal dinaiki dua sahabat itu hilang kawalan ekoran ditendang suspek yang meragut rantai emas milik Fatin sebelum terbabit dalam kemalangan. – MYNEWSHUB.CC/Amy Maizura

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments