Wednesday 10 May 2017

Pemuda Iran Seiras Messi ‘Diheret’ Ke Balai Polis


TEHERAN – Mungkin ada benarnya jika kata orang tua zaman dulu bahawa konon kita akan ada tujuh orang yang secara kebetulan mempunyai wajah hampir sama iras.

Antara yang turut menjadi ‘mangsa’ ialah Reza Paratesh, seorang pelajar berusia 25 tahun dan berasal dari Iran apabila penampilan dirinya menyebabkan dia menjadi terkenal secara tiba-tiba di negara Syiah itu.

Ramai orang di bandar Hamaden, kira-kira 292 kilometer dari ibu kota Teheran, mahu berswafoto dengan Reza hanya kerana wajahnya saling tidak tumpah dengan bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi.

Lebih lucu, media antarabangsa melaporkan, kerana wajah menyerupai pemain kelab Barcelona di Sepanyol itu menyebabkan dia pernah ‘diheret’ ke sebuah balai polis tempatan untuk disoal siasat.


Kekecohan ini dilaporkan bermula beberapa bulan lalu apabila bapa Reza secara berjenaka menyuruhnya untuk cuba menggayakan jersi No.10 pasukan terkenal negara Eropah tersebut di jalanan.

Reza turut mengambil inisiatif dengan memotong rambut dan janggutnya seiras Messi. Bak pisang goreng panas, dia kini menerima undangan wawancara media dan kontrak sebagai model sambilan.

“Sekarang ramai orang melihat saya sebagai Messi Iran malah mereka mahu saya meniru gaya mimik pemain itu apabila berpeluang swafoto dengan saya,” jelas Reza yang turut gembira menjadi popular.

Meskipun bukan pemain profesional, dia sanggup berlatih beberapa taktik aksi menimang bola untuk menjadikan lebih realistik selain berharap dapat bertemu Messi suatu hari nanti. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments