Wednesday 26 July 2017

Pangku Anak Lebih 3 Jam, United Airlines Disaman


LOS ANGELES – Seorang wanita yang terpaksa memangku anaknya lebih tiga jam ketika dalam penerbangan dari Hawaii ke Boston memutuskan untuk saman syarikat penerbangan United Airlines.

Menurut media tempatan Hawaii News Now, wanita dikenali Shirley Yamauchi bertugas di Sekolah Menengah Kapolei Hawaii berkata, tindakan saman itu bertujuan melindungi penumpang lain agar tidak menerima layanan sama sebagaimana yang dialaminya.

“United Airlines memberitahu akan melakukan perubahan dan saya mahu melihatnya. Saya tidak mahu penumpang lain berdepan situasi bahaya,” kata Yamauchi kepada Hawaii News Now.

Menurut peguam, Yamauchi berkata, beliau bersedia menghadapi perbicaraan jika perlu.

Yamauchi terpaksa memangku anak lelakinya berusia 2 tahun untuk penerbangan yang mengambil masa keseluruhan selama 18 jam dari Hawaii ke Boston, walaupun telah membayar hampir AS$1,000 termasuk tempat duduk anaknya.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 29 Jun semasa pesawat mendarat di Houston selepas lima jam perjalanan, seorang penumpang yang baru menaiki pesawat mendakwa tempat duduk anaknya adalah miliknya.

Yamauchi kemudian mengadu kepada seorang pembantu penerbangan dan memaklumkan tempat duduk anaknya telah dibeli tiga bulan lepas, namun aduan beliau tidak diendahkan dengan alasan penerbangan penuh.

Lima hari kemudian, United Airlines mengeluarkan permohonan maaf dan akan memberikan ganjaran istimewa untuk penerbangan balik beliau dari Houston ke Hawaii.

Bagaimanapun, beliau merasakan tindakan syarikat penerbangan itu tidak ikhlas.

Sejak kebelakangan ini, United Airlines sering dilanda kontroversi termasuk insiden pada April yang membabitkan seorang penumpang diseret keluar dari pesawat kerana lebihan tempahan. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments