Tuesday 25 July 2017

Bait Lirik ‘Heavy’ Ceritakan Tekanan Dialami Chester


BEBERAPA hari lepas dunia bersedih apabila digemparkan dengan berita pemergian vokalis Linkin Park, Chester Bennington.

Berikutan berita kematian Chester, media antarabangsa memfokuskan pada tekanan yang melanda vokalis tersebut sehingga sanggup ‘mengambil’ nyawanya sendiri.

Antara menjadi tumpuan, ‘Heavy’ yang merupakan single pertama daripada album terbaharu kumpulan itu, ‘One More Light’ yang dilancarkan pada bulan Mei lalu.

‘Heavy’ adalah hasil tersendiri Chester bersama Mike Shinoda, Brad Delson, Julia Michaels dan Justin Tranter.

Setiap bait lirik lagu tersebut menceritakan masalah serta tekanan yang melanda Chester dan bagaimana keadaan itu menukarnya menjadi ‘gila’.

Mike Shinoda ketika ditemui majalah Billboard membuat pengakuan bahawa Chester berada dalam keadaan yang sangat tertekan sewaktu penghasilan lagu berkenaan.

“Saya tanya adakah dia okey. Pada mulanya dia kata okey, tetapi selepas itu dia mengakui berdepan terlalu banyak perkara dalam hidupnya.

“Katanya, dia berasa seakan-akan sedang lemas,” ujar Mike.

Dalam pada itu, Chester turut tidak menafikan bahawa dia sedang berada dalam tahap melawan tekanan.

“Saya sudah tiba pada satu fasa dalam hidup di mana saya boleh mengalah dan mati, atau terus berjuang. Dan saya pilih untuk berjuang,” katanya dalam satu temuramah terakhir dengan The Mirror.

Chester Charles Bennington atau lebih dikenali sebagai Chester Bennington meninggal dunia pada 20 Julai lalu ketika usianya menjangkau 41 tahun.

Bapa kepada enam orang anak ini ditemui mati tergantung dalam kediamannya di Los Angeles, pagi Khamis lalu.

Selain pernah berhadapan dengan isu penyalahgunaan dadah dan alkohol, vokalis ini turut melalui zaman kanak-kanak yang hitam kerana pernah mengalami penderaan seksual. – MYNEWSHUB.CC/Amy Maizura

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments