Tuesday 25 July 2017

Sanggup Tinggal Serumah Dengan Penyerang Asid


WALAUPUN diserang dengan asid, namun seorang ibu dan anak perempuannya tiada pilihan sebaliknya terpaksa menetap dengan penyerang terbabit di dalam satu rumah.

Ini kerana Geeta Mahour, 40, dan anaknya, Neetu, 26, tidak mempunyai tempat untuk dituju dan mereka juga dihina oleh penduduk kampung di Agra, Uttar Pradesh.

Penyerang terbabit adalah suami Geeta, yang juga bapa kepada Neetu, iaitu Inderjeet Mahour, 60.

Lelaki itu menyerang isteri dan dua anaknya lebih 25 tahun lepas,. Ketika itu Neetu berusia tiga tahun dan adiknya, Krishna, berumur 18 bulan.

Dia mencurahkan asid ke atas Geeta, Neetu dan Krishna ketika mereka sedang tidur. Akibatnya, Geeta mengalami kecederaan yang teruk, manakala Neetu pula buta sebelah mata kiri.

Sementara Krishna meninggal dunia selepas mengalami jangkitan kuman, tiga bulan setelah keluar hospital.

Serangan berlaku ketika Geeta berada di rumah ibunya susulan keretakan dalam perkahwinan mereka.

Wanita itu telah membuat laporan polis namun kemudiannya memaafkan suaminya kerana bimbang dia terpaksa membesarkan anak-anaknya sendirian.

Dia menjadi sasaran suaminya ketika lelaki itu mabuk dan sehingga kini Inderjeet masih memukulnya.

Selepas mereka tinggal bersama, Geeta melayan suaminya seperti biasa dan melahirkan seorang anak lapan tahun kemudian.

“Kami dibenci oleh orang ramai. Mereka ketawa dan memandang kami dengan penuh jijik malah jiran-jiran meminta saya keluar dari kawasan itu. Saya berdepan dengan tekanan.

“Bagaimana saya mampu membesarkan anak-anak saya? Selama bertahun-tahun dia baik dengan saya dan saya kembali kepadanya. Kami mendapat seorang lagi anak,’’ katanya. -MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments