Sunday 23 July 2017

T.O.P Dihukum Penjara Akibat Ketagih Hisap Ganja


MESKIPUN berimej baik, rapper utama salah satu kumpulan muzik boyband terkenal Korea Selatan, Big Bang semalam dikenakan hukuman penjara 10 bulan atas kesalahan hisap ganja.

Bagaimanapun hukuman ke atas T.O.P atau nama sebenarnya, Choi Seung-Hyun itu telah ditangguhkan, menurut laporan media tempatan

Penyanyi berusia 29 tahun itu dikatakan mengaku bersalah menghisap ganja melebihi sekali di kediamannya, Seoul sekitar Oktober pada tahun lalu.

Menurut media, hakim memberitahu, jenayah berhubung dengan dadah memerlukan hukuman yang tegar ekoran mampu memberi impak negatif terhadap masyarakat.

Namun, dia mengambil kira kekesalan rapper tersebut terhadap kelakuannya.

T.O.P malah meminta maaf kepada semua peminatnya atas kesilapan tindakan tersebut. Dia berkata ‘sangat menyesal menyebabkan masalah’ ketika berada di mahkamah.

Untuk maklumat, kesalahan hisap ganja di Korea Selatan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau didenda 50 juta won (kira-kira RM191,315).

Kini, T.O.P yang sedang menjalani latihan kerahan kebangsaan sebagai anggota polis sejak Februari lalu bakal dikenakan tindakan disiplin.

Ini termasuk sama ada dia masih boleh menyambung semula tugasannya atau langsung dilucutkan jawatan.

T.O.P, merupakan penyanyi, pelakon dan penerbit rakaman Korea Selatan. Dia juga terlibat dalam pelbagai drama dan filem antaranya I Am Sam (2007), Iris (2009) dan Tazza: The Hidden Card (2014).

Sebelum terlibat bersama YG Entertainment, T.O.P merupakan penyanyi rap bawah tanah dengan nama Tempo, dan merupakan rakan karib G-Dragon, seorang lagi ahli Big Bang. – Agensi/MYNEWSHUB.CC/Amy Maizura

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments