Sunday 23 July 2017

Dikutuk Caj 30 Sen Bungkus Air Ikat Tepi, Ini Sebabnya…


SHAH ALAM – Tular menerusi media sosial baru-baru ini mengenai kisah sebuah gerai mengenakan bayaran 30 sen untuk minuman dibungkus ‘ikat tepi’ berbanding air gelas yang diminum di situ.

Bahkan, gambar sekeping resit turut disebarkan netizen bagi menerangkan isu si pemilik gerai menetapkan harga RM3.50 bagi minuman Limau Asam Boi dan tambahan bayaran RM0.30 untuk bungkusan minuman ‘ikat tepi’.

Ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan harga minuman itu kepada RM3.80. Akibatnya gerai ‘Chempaka Grab N Go’ di hentian rehat dan rawat Awan Besar tepi Lebuh Raya Kesas dekat sini, teruk dikecam oleh banyak pihak.

Berdasarkan tinjauan ruangan komen di pemilik akaun Metafora Anafora yang memuat naik gambar itu, ramai netizen menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan caj 30 sen itu sehingga ada menganggapnya keterlaluan.

Menyedari isu ditularkan itu, pemilik gerai tersebut kemudian tampil memberikan penjelasan sebenar dalam bentuk rakaman video yang sememangnya menarik dan logik menjelaskan rasional tambahan 30 sen untuk air ‘ikat tepi’.

Menerusi laman Facebook milik pemilik premis yang dikenali sebagai Nita Saidi, dia dalam rakaman berdurasi dua minit itu menceritakan perbezaan air diminum terus di gerainya berbanding dibawa pulang dengan dibungkus.

Apa yang pasti ujar wanita itu, air dibungkus sebenarnya lebih banyak dari segi kuantiti selain dicampur lagi ketulan ais berbanding diminum di gerai malah jika air dari gelas dipindahkan ke bungkusan pun tetap sedikit sahaja isinya.

Nita turut menulis kapsyen video tersebut: “Moga pembeli memahami dan bertenang… jangan nanti tertipu pula dengan harga sama tapi rasa yang dah tak ada ya…. saya ikhlas meniaga kerana Allah… Moga Allah memahami…”

Video pencerahan pemilik gerai itu yang dimuat naik pada 20 Julai lalu telah ditonton lebih 200,000 kali selain menerima hampir 1,000 tanda suka, hampir 700 perkongsian dan lebih 700 komen. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments