Sunday 23 July 2017

200 Batu Karang Dalam Badan Akibat Tidak Sarapan


BEIJING- Sekumpulan doktor China berjaya mengeluarkan lebih 200 batu karang di dalam pundi hempedu dan hati seorang wanita di sini yang berpunca daripada tidak sarapan pagi.

Dr Quan Xuwei dari Hospital Guangji di Hezhou dekat sini memberitahu, batu karang itu yang ada sebesar telur ayam dikeluarkan dalam satu pembedahan pada 15 Julai lalu.

Wanita yang dikenali sebagai Chen, 45, itu sering makan lebihan makanan dan makan tidak mengikut waktu sejak 10 tahun lalu.

Pesakit juga sering tidak mengambil sarapan pagi dan makan makanan yang tidak sihat dan banyak kolesterol.

“Chen mula sakit perut sejak 10 tahun yang lalu tetapi tidak mendapatkan rawatan di hospital.

“Beberapa tahun lalu, dia membuat pemeriksaan di hospital dan doktor menyarankan pembedahan dilakukan tetapi wanita itu tidak bersetuju kerana takut,” katanya.

Menurutnya, Chen datang semula ke hospital pada minggu lalu kerana mengalami sakit perut yang teruk dan dia tiada pilihan selain menjalani pembedahan.

Semua batu karang di tubuh manusia biasanya terbentuk daripada kolesterol dan mereka yang berusia 40 tahun ke atas, terutama wanita berisiko mengalami keadaan itu.

Menurutnya, pemakanan dan gaya hidup seseorang juga menjadi punca utama pembentukan batu karang dalam tubuh.

“Kebanyakan pesakit yang saya temui termasuk Chen sering tidak mengambil sarapan pagi,” jelasnya. – Agensi/myMetro Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments