Sunday 30 July 2017

Nelayan Temui Bahan Letupan Di Perairan Endau


JOHOR BAHRU – Sebutir bahan letupan ditemui seorang nelayan terapung di perairan Endau dekat Mersing, semalam, ketika sedang menangkap ikan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, ASP Mohd Nor Mohd Isa berkata bahan letupan moden jenis ‘Mine Disposal Charge -Warcharge’ itu berukuran 0.97 meter dengan ukuran lilit 1.17 meteri.

“Nelayan menemuinya terapung di laut dan kemudian membawa balik ke Jeti Vista Jalan Dato Mohd Ali, Endau, 10.50 pagi, semalam,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Mohd Nor berkata polis bertindak ke jeti terbabit sejurus menerima laporan bagi melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata pasukan pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah hadir ke lokasi bagi tujuan pemusnahan bahan letupan itu hari ini.

Sementara itu, Sel Perhubungan Raya, Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1), Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang menerusi kenyataan berkata Bilik Operasi MAWILLA 1 menerima maklumat mengenai penemuan objek disyaki bom oleh sebuah bot nelayan tempatan itu pada 10.45 pagi semalam.

MAWILLA 1 menasihati nelayan dan komuniti setempat untuk menjauhi daripada menyentuh objek itu seterusnya membuat laporan penemuan di balai polis berhampiran.

“Dalam masa sama, Tim Pemusnah Ordnans dan Letupan TLDM terdiri daripada tiga pegawai dan seorang anggota ditugaskan ke lokasi di Jeti Vista bagi membantu polis mengenal pasti objek tersebut serta memberi khidmat nasihat pemusnahan objek yang dipercayai ‘Mine Disposal Charge’,” menurut kenyataan TLDM.

Pemusnahan objek kemudian dilakukan 11.24 pagi hari ini di Sungai Paya Mengkuang, kira-kira lima kilometer dari Jeti Vista oleh Unit Pemusnah Bom Polis Johor dengan bantuan Tim Pemusnah Ordnans dan Letupan TLDM.

Mine Disposal Charge adalah peralatan yang digunakan bagi memusnahkan periuk api yang dipasang di bawah permukaan atau dasar laut. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments