Tuesday 31 January 2017

Vokalis Kumpulan Samudera, Ujang Meninggal Dunia

Ujang (dua dari kanan) ketika hadir pada sidang media Festival Empire Rock pada 2014. Gambar Ihsan Facebook Empire Rock Kapak Malaysia 

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Samudera iaitu Ujang ditemui mati di rumahnya di Felda Palong Timur, Segamat, Johor kira-kira pukul 12 tengah hari, Selasa.

Saudara angkatnya, Mohd Ismail N. Isa, 30, ketika dihubungi mStar Online memberitahu mayat berkenaan ditemukan oleh rakan sekerja Ujang yang datang melawat Allahyarham yang sudah enam hari tidak datang bekerja.

"Rakan sekerjanya bimbang tentang keadaan Ujang yang sudah enam hari tidak datang bekerja dan mengambil keputusan untuk melawatnya di rumah.

"Bagaimanapun rakannya terkejut apabila menemui arwah di dalam biliknya sebelum menelefon saya memaklumkan perkara itu," katanya.

Berita kematian penyanyi terkenal era 80-an itu menjadi tular di media sosial apabila Ujang atau nama sebenarnya Sarfen Husin, 50-an dikatakan sudah meninggal dunia sejak tiga hari lalu sebelum ditemukan.

Dalam pada itu, Ismail berkata, dia tidak dapat mengesahkan mengenai kebenaran dakwaan berkenaan namun memberitahu mayat Ujang ditemui berada dalam keadaan menyayat hati.

Kata Ismail, ketika ini pihak polis sudah berada di lokasi kejadian dan mayat dijangka dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

"Saya tak dapat pastikan sama ada benar atau tidak arwah meninggal tiga hari lalu seperti diperkatakan tetapi keadaan mayat yang ditemui seperti sudah beberapa hari meninggal dunia.

"Diharap tiada spekulasi yang tidak benar disebarkan di laman sosial dan sama-sama kita mendoakan yang baik-baik untuk Allahyarham," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, kali terkahir dia bertemu dengan Ujang pada minggu lalu apabila lelaki itu memberitahunya dia baharu pulang daripada hospital.

Bagaimanapun Ujang tidak menyatakan penyakit dihidapinya sehingga memerlukan dia ke hospital.

"Ujang masih belum berkahwin dan sejak tinggal di Felda berkenaan dia memang tinggal seorang diri.

"Saya mengenalinya selepas nenek saya mengambilnya sebagai anak angkat dan sejak itu kami rapat," jelasnya.

Ketika bersama kumpulan Samudera, Ujang sempat merakamkan beberapa buah album seperti Titian Hasrat (1993), Terminal Cinta (1994) dan Salam Sejahtera (1995).

Mereka juga popular dengan lagu-lagu seperti Salam Sejahtera, Untuk Apa Kita Bertemu dan Bila Diburu Kenangan.

Bagaimanapun pada 1997, Ujang menyertai kumpulan X-Ray dan popular menerusi lagu-lagu seperti Sungguh Tak Ku Sangka, Airmata Dewiku, Mekar Dijiwa dan Lembayung Senja. - Mstar

Gempa bumi lemah landa Ranau

KOTA KINABALU: Gempa bumi lemah berukuran 3.4 mangnitud dikesan di Ranau pada 3.44 petang tadi. 

Menurut jurucakap Jabatan Meteorologi, gempa bumi itu berpusat 6.0 darjah utara dan 116.6 darjah timur. 

Katanya, susulan gempa itu, gegaran turut dirasai di sekitar Ranau dan Kundasang. 

“Setakat ini, maklumat yang kita terima gegaran cuma dirasai di Ranau dan Kundasang, namun tidak membabitkan apa-apa kerosakan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi. – BH Online

Bakal melancong ke Jepun? Anda perlu ambil tahu perkara penting ini


Saya nak kongsi tentang kes tourist Malaysia yang patah kaki di Sapporo, Hokkaido beberapa minggu lepas. Dan di sini saya harap dapat memberi sedikit gambaran betapa berbezanya sistem emergency di sini dengan Malaysia.

Tourist tersebut tergelincir dan salah satu kaki betis dia terhentak pada tepi jalan ais yang keras. Selepas tu dia tak boleh bergerak dan kaki jadi bengkak dan dia mula kesakitan. Kebetulan masa itu ada passer-by orang Jepun dan orang tersebut tolong menghubungi ambulans. Ambulans datang dan orang ambulans tidak paham bahasa inggeris dan tourist tersebut dan juga rakan-rakannya tidak tahu berbahasa Jepun maka ada yang menghubungi saya untuk meminta bantuan.

Saya telefon dan kemudian berhubung dengan orang ambulans. Saya dimaklumkan bahawa mereka sedang berusaha cuba mencari hospital yang boleh menerima tourist tersebut, tapi semuanya menolak. 

Kemudian ada satu hospital yang bertugas untuk handle accident patients pada malam itu yang katanya sanggup terima tetapi dengan syarat perlu ada translator. Itupun ditolak akhirnya.

In the end, saya sarankan sebuah hospital yang saya familiar dengan harapan mereka sanggup terima. Alhamdullillah mereka sanggup terima tapi mereka hanya boleh setakat buat observation, X-ray dan balut saja dan tidak boleh ward tourist tersebut.

Saya bergegas pergi bertemu dengan tourist tersebut selepas itu untuk menjadi translator sebab kebetulan pada masa itu, saya ada kelapangan untuk berbuat demikian. Masa saya jumpa tourist dan rakan-rakannya, mereka bertanya pada saya,

''Kenapa ambulans tu tidak terus bergerak?''

Di Jepun, sistem medical emergency untuk setiap tempat adalah berlainan tetapi untuk ambulans pula, mereka hanya boleh bergerak sekiranya jumpa hospital yang boleh terima. Selagi tak jumpa, selagi itu mereka tidak akan bergerak. Jika perlukan immediate medical procedure seperti heart attack yang memerlukan immediate CPR (cardiopulmonary resuscitation), mereka akan bertindak tapi tidak akan bergerak selagi tiada hospital kata boleh terima.

Mencari hospital@klinik yang boleh terima sehingga dijumpa dipanggil たらい回し, Taraimawashi. Manakala ditolak dari diterima dipanggil 受け入れ拒否, Ukeire kyohi.

Ini tiada kaitan dengan hospital kerajaan ke hospital swasta ke mahupun sama ada ada duit ke tidak. Tapi lebih kepada kesanggupan hospital tersebut nak terima atau tidak.

Ini salah satu masalah dalam sistem medical emergency di sini dan pernah ada kes di mana ibu mengandung yang mengalami complications meninggal dan juga kes budak kecil sakit teruk meninggal sebab dua-dua masalah di atas.

Ada juga kes lain tourist dan residents yang merasa Taraimawashi dan juga Ukeire kyohi. Saya sendiri pernah ditolak dari terima rawatan untuk asthma attack sedangkan saya boleh berbahasa Jepun.

Alhamdullillah, kes kali ini tak ada melibatkan nyawa dan tourist tersebut sudah pun selamat menjalani pembedahan di Malaysia. Cuma ini salah satu kesnya. InsyaAllah saya akan kongsi lagi. - The Reporter

February 2017 fuel prices – petrol and diesel up again!

Well, turns out the fuel price hike rumour was fake after all – the price of RON 95 will not see a 15 sen hike for February 2017. Instead, it will go up by 20 sen. That’s right, confirmed fuel prices have been announced, and they’re even higher than expected.

For the month of February 2017, RON 95 will be priced at RM2.30 per litre (up 20 sen compared to January 2017), RON 97 at RM2.60 per litre (up 20 sen), diesel at RM2.15 per litre (up 10 sen) and Euro 5 diesel at RM2.25 per litre (up 10 sen).

Just to put it all into perspective, RON 95 was priced as low as RM1.70 per litre as recently as September 2016. That’s a massive 60 sen jump in just five months.

Well anyway, Happy Chinese New Year, everyone. - Paultan

Minyak Naik: Mana satu yang betul ni?

Laman rasmi KPDNKK hanya tampil menafikan berita palsu dari laman palsu. Tetapi tidak menafikan atau menjawab isu utama yang menjadi viral di laman sosial samada minyak naik atau sebaliknya..


Harga Minyak Naik Lagi Sepanjang Februari 2017?

BENARKAH harga minyak naik lagi malam ini? Sama seperti anda semua, kami turut tidak terkecuali mendapat mesej mengenai desas-desus kenaikan harga bahan api sepanjang Februari 2017 yang disebarkan menerusi kiriman teks WhatsApp. Berikut kami tulis semula maklumat tersebut:
Kadar baru minyak 1 FEB 2017 
RON95 RM2.25 seliter 
RON97 RM2.45 seliter 
Diesel RM2.25 seliter 
Berkuatkuasa pada pukul 12 A.M 1 FEB 2017
Jika berdasarkan maklumat tersebut, ini bermakna harga minyak sepanjang Februari ini mengalami kenaikan sebanyak 0.15 sen daripada RM2.10 bagi RON95, 0.05 sen daripada RM2.40 (RON97) dan 0.20 sen daripada RM2.05 (diesel).

Kami cuba menghubungi ejen perisik kami, Djar the Petrolman, tetapi dia sendiri tidak dapat mengesahkan kesahihan tersebut dan berita itu kekal menjadi desas-desus atau khabar angin. Berikut perbualan antara wakil kami, Bang Nin dan Djar.
“Betul ke minyak naik? Atau rumours?” – Bang Nin
“Dengarnya macam tu. Since minggu lepas lagi rumours ni. Most dealer aku pun bagitau benda sama. Tak apa, dapat official saja aku heads up.” – Djar the Petrolman
Benarkah khabar angin bakal menjadi khabar duka? Apakah patut kita lakukan? Masih perlukah kita terus mengamuk di media sosial sebelum kehidupan kembali seperti biasa selang seminggu kemudian? Sama-sama kita fikirkan.. - Pandulaju

NASA sembunyi ‘malapetaka’ asteroid bakal timpa bumi?

Laporan Daily Mail memetik kenyataan pakar astronomi Rusia, Dr Dyomin Damir Zakharovich yang berkata jika asteroid 2016 WF9 itu melintasi bumi, ia akan mencetus tsunami.

Beliau juga mendakwa asteroid yang dikenali sebagai 2016 WF9 yang akan melintasi bumi dengan jarak 32 juta batu atau 51 juta kilometer dikatakan akan menyebabkan malapetaka.

“Objek yang dikenali sebagai WF9 meninggalkan sistem Nibiru pada Oktober 2016 dan mulai berputar melawan arah jam di sekitar matahari,” kata Zakharovich yang menuduh NASA menyembunyikan hal sebenar.

Katanya NASA sudahpun mengetahui hal itu namun tidak mendedahkan kepada umum selama ini.

“Jika asteroid itu benar-benar boleh menghentam bumi, ia boleh membahayakan bumi dan berpotensi menyebabkan tsunami. Kita dalam bahaya,” ulasnya.

Relaks… jangan terpedaya lagi kerana pihak NASA mahupun media antarabangsa belum dapat kenal pasti siapa sebenarnya Zakharovich kerana kenyataannya hanya muncul di online.

Mungkin ini kerja saintis yang tak kesampaian impiannya… - Free Malaysia Today

11 hari diseksa secara seksual, wanita Bangladesh berjaya lari

PETALING JAYA: Seorang wanita berusia 20 tahun kembali ke Bangladesh pada Ahad selepas berjaya melepaskan diri daripada cengkaman sindiket pemerdagangan manusia yang menderanya secara seksual sekurang-kurangnya 20 kali sejak 11 hari tiba di Malaysia.

The Daily Star melaporkan hari ini wanita muda, Bithi (bukan nama sebenar), mendakwa berkali-kali didera secara seksual ketibaan pada 18 Januai.

Bithi, pekerja kilang pakaian di Mirpur, datang ke Malaysia selepas dijanjikan pekerjaan lebih baik yang datang dengan gaji Tk20,000 (Bangladesh Taka), bersamaan RM1,115.

Ibunya menjual barang kemas dan tanah keluarga bagi menampung kos penghijrahan berjumlah Tk150,000 sebagaimana diminta 2 broker yang menawarkan pekerjaan, kata Bithi kepada ahkbar Bangladesh.

Mengikut fakta kes, Bithi meninggalkan Dhaka ke Kuala Lumpur pada 18 Jan, dan awal pagi keesokan harinya dibawa ke sebuah hotel.

Pada hari yang sama, beliau dipindahkan ke sebuah rumah dan bertemu seorang warga asing dan 3 lelaki warga Bangladesh, wakil sindiket.

Menurut Daily Star, Bithi kemudin dipaksa melakukan hubungan seks dengan mereka sepanjang malam.

Pagi esoknya, Bithi dipindahkan sekali lagi oleh lelaki warga Bangladesh, yang memberitahu beliau dijual kepada seorang lelaki Cina dan perlu memberi “perkhidmatan” kepada pelanggan beliau.

Bithi dipindahkan dari hotel ke hotel selama beberapa hari dan sentiasa dikurung di dalam bilik dan dipaksa melakukan hubungan seks dengan ahli sindiket berulang kali.

Bithi juga mendakwa seorang daripadanya merakam video seks beliau dengan 2 lelaki lain.

Beliau berpeluang melarikan diri datang apabila jatuh sakit dan dibawa ke sebuah klinik pada 24 Jan oleh salah seorang anggota sindiket.

The Daily Star melaporkan Bithi berkata lelaki berkenaan memintanya mengaku sebagai isteri, tetapi sebaliknya Bithi menjerit dan menimbulkan kekecohan, menyebabkan sindiket tersebut melarikan diri.

Bithi berjaya menemui tempat berlindung dan menghubung suaminya di Bangladesh.

Ahli keluarganya menghubungi pertubuhan bagi mendapatkan bantuan undang-undang dan hak asasi manusia Bangladesh, Ain Salish Kendra (ASK) dan menghubungi Mohammad Harun al-Rashid, aktivis hak pekerja warga Bangladesh yang bekerja dengan Tenaganita yang kemudian menghantar kepadanya salinan pasport Bithi, foto dan nombor telefon.

Harun berjaya mengesan lokasi Bithi dan membawanya ke pusat perlindungan yang dikendalikan Tenaganita, sebuah pertubuhan hak asasi pendatang.

Dengan bantuan Tenaganita, beliau diberi bantuan kewangan untuk mendapatkan tiket pulang ke Bangladesh.

ASK memberitahu Daily Star mereka akan membantu Bithi membuka kes terhadap broker yang mengatur perjalanannya ke Malaysia. - Free Malaysia Today

Putrajaya enggan ulas dakwaan PBB pegawai Malaysia bantu Arab Saudi

PETALING JAYA: Putrajaya enggan menggulas laporan terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan pegawai Malaysia turut terlibat membantu operasi ketenteraan Arab Saudi di Yaman.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharom sebaliknya berkata, beliau perlu menunggu laporan rasmi berkenaan perkara terbabit.

“Saya tak boleh nak jawab apa-apa lagi. Saya kena tunggu dapat laporan dulu. Belum dapat laporan lagi. Ada apa-apa nanti saya bagi tahu,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Terdahulu, PBB menyatakan pegawai Malaysia turut terlibat membantu operasi ketenteraan Arab Saudi di Yaman, selepas laporan terkini badan dunia itu mengutuk serangan ke atas Yaman dan menyifatkannya jenayah perang.

Memetik laporan AFP, ia turut memberi amaran kepada negara lain yang membantu Riyadh, selepas penyiasatannya mendapati kebanyakan sasaran serangan di Yaman antara Mac dan Oktober tahun lalu adalah kawasan awam, melibatkan kematian 292 orang awam termasuk 100 wanita dan kanak-kanak.

Sejak 2 tahun lalu, Arab Saudi mengetuai gabungan 9 negara Arab melancarkan serangan udara bagi membantu kerajaan Yaman melawan pemberontak puak Houthi dan pihak yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh.

Menurut laporan PBB lagi, selain 9 negara Arab iaitu Mesir, Maghribi, Jordan, Sudan, UAE, Kuwait, Qatar dan Bahrain, operasi ketenteraan Arab Saudi turut dibantu perisikan Amerika Syarikat serta disokong pegawai dari Britan, Perancis dan Malaysia.

Mengulas lanjut, Johari menyatakan misi tentera Malaysia masih lagi sama seperti dahulu.

“Kita pergi untuk siap sedia sekiranya berlaku apa-apa di sana sahaja. Kita tak terlibat dengan ketenteraan. Menteri pun dah jawab banyak kali di Parlimen. Saya pun banyak kali sudah menjawab,” katanya. - Free Malaysia Today

Mimpi ngeri, 33 jam terapung bersama mayat

KOTA KINABALU: Tiga puluh tiga jam terapung di tengah-tengah lautan luas merupakan suatu pengalaman buruk buat 20 pelancong China, mangsa bot karam di Pulau Mengalum, dekat sini Sabtu lalu. Paling tidak dapat dilupakan adalah mereka terapung bersama mayat rakan.

Menurut seorang mangsa, Fan Li Xia, 40, kesemua pelancong lain termasuk dia saling diikat dengan jaket keselamatan serta berpegangan tangan hanya mampu memandang salah seorang daripada mereka mati akibat kehabisan tenaga. 

“Pada waktu itu, saya hanya fikir kami semua juga akan mati memandangkan telah 33 jam terapung di laut. Kami kemudian membuat keputusan melepaskan ikatan tali pada rakan lelaki yang telah mati hingga dia hanyut,” katanya kepada Utusan Online.

Selain tiada bekalan makanan, mereka berdepan angin kencang dan ombak besar sebelum diselamatkan di perairan Samarang, Labuan.

Li Xia dipercayai berasal dari Suzhou, China itu bersama 11 lagi rakannya datang ke Kota Kinabalu sejak 26 Januari lalu untuk bercuti sebelum tujuh daripada mereka memutuskan untuk ke pulau berkenaan.

Namun, selain daripada enam rakannya itu, dia tidak mengenali pelancong lain ketika bertolak dari jeti Kampung Tanjung Aru.

Menurut Li Xia, kejadian itu berlaku bukan disebabkan bot berkenaan terbalik, sebaliknya dimasuki air sebelum karam.

“Nasib baik kami semua dibekalkan jaket keselamatan dan suasana menjadi panik pada waktu itu,” katanya.

Terdahulu, tiga mayat pelancong warga China termasuk mayat seorang wanita ditemui di perairan Semarang, Labuan, kelmarin. - Antarapos

Konsul Jeneral China mohon media hormati privasi mangsa bot karam

KOTA KINABALU: Konsul Jeneral China di sini Chen Peiji memohon pihak media menghormati privasi mangsa bot karam yang sedang dirawat di Hospital Queen Elizabeth di sini.

Katanya Konsulat China menghargai keprihatinan rakyat Malaysia yang berkongsi kesedihan selain bersedia membantu mangsa dan keluarga, namun pada masa sama harus ambil kira privasi mereka yang terlibat dalam tragedi itu.

"Saya hargai kemesraan semua pihak yang datang ke hospital tetapi tolonglah jangan rakamkan dialog (temu bual) dengan mangsa.

"Tolong jangan ambil gambar mangsa kerana mereka alami banyak kecederaan pada anggota tubuh mereka. Biarlah mereka dalam persekitaran yang aman untuk sembuh dan paling penting jangan ambil gambar dan terbitkan kepada awam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pusat media Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Likas, di sini hari ini.

Mengenai keadaan mangsa yang sedang dirawat, Chen berkata keadaan mereka bertambah baik.

Mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pihak berkuasa Malaysia, Chen berkata China berpuas hati dengan semua langkah yang diambil pihak berkuasa Malaysia.

Mereka juga terharu kerana turut mendapat perhatian pemimpin tertinggi Malaysia sekali gus memberi penekanan akan pentingnya operasi SAR itu bagi Malaysia, katanya.

Chen berkata beliau dimaklumkan kawasan operasi turut diperluas hari ini.

"Kami cuma berharap usaha diteruskan. Tolong jangan berputus asa sehingga semua mangsa yang masih hilang ditemukan. Saya juga ingin menyampaikan pesanan daripada presiden saya, Xi Jinping, supaya jangan biarkan seorangpun pelancong China berkenaan tidak jumpai," katanya.

Katanya beliau dimaklumkan operasi diperhebat pada jam-jam terakhir daya tahan seseorang mangsa yang jatuh ke laut. - Astroawani

Tragedi Katamaran: Kawasan carian diperluas

KOTA KINABALU: Kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot pelancong yang karam Sabtu lepas diperluas kepada 3,000 batu nautika persegi hari ini, hari keempat tragedi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata sebanyak 20 aset udara dan laut terlibat dalam operasi merangkumi lima kapal, tujuh bot dan lapan pesawat milik Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, APMM, Polis Diraja Malaysia dan juga Brunei.

Pihak berkuasa Brunei menugaskan sebuah helikopter dan sebuah kapal dengan tumpuan operasi di kawasan perairan negara itu, katanya.

"Pada hari keempat ini kita tumpukan kepada carian di permukaan laut dari udara kerana hari ini adalah hari 'the golden hour' (hari-hari terakhir) untuk kita menemukan mereka yang masih hilang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya kawasan carian tertumpu di 30 batu nautika di utara Pulau Labuan menghala ke barat.

Mengenai peluang mangsa yang masih hilang untuk hidup, Adam berkata APMM pernah menyelamatkan mangsa pada hari ke-10 di laut.

"Ada banyak faktor yang menyumbang kepada daya tahan badan tetapi dengan keadaan panas, kehausan, kekurangan air dalam badan serta keadaan laut selain kebarangkalian jaket keselamatan tidak dapat bertahan, agar sukar untuk kami pastikan (peluang mangsa bertahan selepas empat hari)," katanya.

Mengenai percanggahan maklumat berhubung jumlah sebenar mangsa yang masih hilang sama ada enam atau lima, Adam berkata APMM masih menunggu hasil siasatan polis.

Percanggahan itu timbul apabila operator bot memberi senarai berbeza dengan senarai yang ada di atas bot semasa kejadian, katanya.

Dalam tragedi 10 pagi Sabtu lalu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal tersebut karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, 56 kilometer di barat laut Kota Kinabalu.

Setakat ini, 25 mangsa ditemukan termasuk tiga yang maut. - Astroawani

Pengawal keselamatan bebas tuduhan rogol adik teman wanita

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan yang didakwa merogol adik teman wanitanya, Jun tahun lepas menarik nafas lega selepas Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan itu.

Hakim Datin M. Kunasundary membuat keputusan itu terhadap Muhammad Syahir Naim Ramli, 21, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Kunasundary berkata keterangan mangsa di mahkamah tidak konsisten dan tidak jelas dengan laporan polis yang dibuatnya.

"Mahkamah mendapati kredibiliti mangsa tidak boleh dipercayai kerana banyak percanggahan di dalam laporan polis, keterangan utama di mahkamah dan soal balas.

"Selain itu ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh yang dijumpai di dalam rumah, tempat kejadian itu juga bukanlah bukti yang boleh menyabitkan tertuduh kerana di dalam rumah itu terdapat beberapa individu (lelaki) lain yang membawa masuk teman wanita mereka. Mahkamah dengan ini melepas dan membebaskan tertuduh tanpa perlu membela diri," katanya.

Muhammad Syahir Naim yang memakai baju T berkolar, jaket merah dan seluar jeans biru dilihat menangis dan memeluk bapanya yang berada di galeri awam sejurus selepas mahkamah membaca keputusan itu.

Pada 23 Jun 2016, tertuduh mengaku tidak bersalah merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di dalam bilik di sebuah rumah di Jalan 9/56, Ulu Klang di sini pada 12.30 malam, 16 Mei tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

Sebelas saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula September tahun lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd manakala tertuduh diwakili peguam S.S Seelan. - Astroawani

Tak peduli perintah Trump, Starbucks ambil 10,000 pelarian seluruh dunia

NEW YORK: Starbucks bercadang untuk mengambil 10,000 pelarian di seluruh dunia dalam tempoh 5 tahun, susulan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump, kata syarikat rangkaian kafe Amerika Syarikat (AS) itu semalam.

“Saya menulis kepada anda hari ini dengan rasa bimbang, hati yang berat dan saya berjanji,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks Howard Schultz dalam satu surat kepada kakitangannya yang dimuat naik di laman web syarikat.

Schultz, penyokong parti Democratic berkata Starbucks sudah menghubungi kakitangan yang terjejas akibat perintah eksekutif presiden baharu daripada Republican itu yang ditandatangani pada Jumaat.

Perintah itu menggantung semua kehadiran pelarian untuk kira-kira 120 hari, pelarian Syria dan rakyat Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria da Yaman tidak dibenarkan masuk selama 90 hari.

CEO itu berkata pelarian yang akan diambil bekerja mungkin terdiri daripada mangsa perang, pendakwaan dan diskriminasi di 75 negara di mana syarikat itu beroperasi.

“Dan kami akan memulakan usaha ini di sini di AS dengan fokus awal usaha pengambilan pekerja dibuat di kalangan individu yang pernah berkhidmat dalam pasukan tentera AS sebagai penterjemah dan pegawai sokongan di pelbagai negara di mana anggota tentera kita diminta bertugas,” katanya.

Schultz juga mempertahankan Mexico, di mana Trump sebelum ini berkata perlu membayar untuk pembinaan dinding sempadan panjang di AS untuk menghalang kemasukan imigran, dengan kemungkinan AS mengenakan tarif 20% bagi import Mexico.

“Bina jambatan, bukan dinding dengan Mexico,” tulis Schultz, menyuarakan sokongannya kepada negara yang menyediakan kopi untuk Starbucks selama 3 dekad dan di mana hampir 600 kedai kopi Starbucks menggaji 7,000 pekerja.

“Kami bersedia membantu dan menyokong pelanggan Mexico kami, rakan kerja dan keluarga ketika mereka mengkaji kesan terhadap halangan perdagangan yang dicadangkan itu, sekatan imigresen dan cukai yang mungkin menjejaskan perniagaan serta kepercayaan mereka terhadap Amerika.

“Tetapi kami akan terus melabur dalam pasaran penting ini,” katanya.

Schultz rapat dengan Hillary Clinton, calon presiden Democratic yang tewas dengan Trump dalam pemilihan pada November itu, dan menyokong Clinton sepanjang kempen White House. - Free Malaysia Today

Pondan Malaysia Johan Pertandingan Ratu Cantik 2017

SEORANG ‘wanita’ dari Malaysia telah memenangi Pertandingan Ratu Cantik Transeksual Australia 2017, di Melbourse, menewaskan 12 peserta lain.

Laeticia Phylliscia Raveena, yang berasal dari Kuala Lumpur memenangi hadiah baucar bernilai AS$15,000 (RM66,450) daripada Hospital Kosmetik Kamol, Bangkok pada Sabtu.

Menurut laman Facebook Miss Gay & Miss Transeksual, Laetica yang juga merupakan seorang chef turut memenangi kategori “Best in Rio Carnival Costume”.

Difahamkan, beliau akan menggunakan gelaran yang diterima untuk mempromosikan Rising Star, sebuah organisasi yang ditubuhkannya untuk memberi inspirasi kepada wanita transgender berbakat untuk mencapai potensi diri mereka sepenuhnya.

Berita kemenangan Laetica turut membuatkan aktivis mak nyah, Nisha Ayub berkongsikan kegembiraan dengan mengatakan kemenangan beliau membuatkan komuniti itu berbangga dengannya.

“Tahniah kepada wakil transeksual Malaysia, Laeticia Phylliscia Raveena kerana memenangi pertandingan Ratu Cantik Transeksual Australia. Dia sememangnya layak bergelar ratu,” katanya.

Pertandingan tahunan ini adalah yang terbesar seumpamanya di Australia, khas untuk penyamar perempuan, transeksual, penghibur “drag queen” dan wanita transgender. – MYNEWSHUB.CC

Adakah Pemandu GrabCar Maut Kerana Penat Bekerja?

KUALA LUMPUR – Pembangkang menyelar pengendali perkhidmatan GrabCar kerana didakwa tidak telus dalam berhadapan kes kematian seorang pemandunya, Dedi Abdullah, 28, akibat sakit jantung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 27 Januari lalu.

Pengarah Pendidikan Pemuda DAP, Chiong Yoke Kong berkata, pengendali GrabCar dalam satu kenyataan di laman Facebook selepas kejadian itu memaklumkan tidak akan mengumumkan sebarang info lanjut berkaitan insiden berkenaan untuk fokus membantu keluarga mangsa.

“Tindakan yang diambil oleh GrabCar adalah tidak wajar dan telus. Perkhidmatan berasaskan aplikasi ini melibatkan kepentingan dan keselamatan bersama pihak penumpang dan pemandu memandangkan kaedah operasi serta perkhidmatan itu masih dalam pertimbangan kerajaan.

“Siasatan terhadap rekod dan jadual tugas mangsa harus dijalankan untuk meneliti punca kematian sebenar mangsa tersebut. Adakah kematian tersebut disebabkan kelelahan akibat bekerja tidak berhenti-henti? Apakah langkah penyelesaian GrabCar untuk mengelakkan daripada berlakunya kemalangan sedemikian pada masa yang akan datang?


“Dalam pada itu, apakah jenis bantuan yang dihulurkan pihak GrabCar kepada keluarga mangsa? Hal ini tidak harus dirahsiakan kerana ini jelas melibatkan perihal kepentingan dan kebajikan pemandu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Yoke Kong dalam pada itu berkata, kerajaan bakal mengesahkan perkhidmatan Uber dan GrabCar, maka Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bertanggungjawab untuk memperkenalkan satu peraturan baharu bagi meningkatkan taraf dan kualiti perkhidmatan.

Menurut beliau, kemalangan Dedi tidak harus dipandang remeh dan patut disiasat oleh SPAD secara menyeluruh untuk mengenal pasti punca kejadian dan langkah penyelesaiannya.

“Di samping memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada penumpang, aspek kepentingan, keselamatan serta kebajikan pemandu turut harus dijamin oleh pihak yang berkenaan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

Polis Tahan Lelaki Tempatan Pecah Masuk Pejabat JPN

KUNAK: Polis Kunak menahan seorang lelaki tempatan selepas memecah masuk pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Simpang Empat Kunak, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata suspek berumur 24 tahun itu ditahan kira-kira 5.20 pagi selepas anggota bertugas menerima laporan dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Anggota bertugas Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang tiba di lokasi, mendapati bahagian pintu belakang pejabat telah diumpil manakala pagar besi tingkap telah dirosakkan.

“Sewaktu pemeriksaan dilakukan, seorang lelaki ditahan dan kereta berwarna oren turut dirampas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, ketika kejadian tiada kamera litar tertutup yang dipasang atau saksi kejadian dan kesan cap jari juga tidak ditemui.

Nasaruddin juga tidak menolak andaian, lelaki yang ditahan itu merupakan suspek sama yang memecah masuk bilik rekod pejabat JPN Kunak pada 18 Januari lepas.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah masuk premis. - Free Malaysia Today

Azarul Dijaga Lelaki Berjubah Putih Dan 2 Bidadari

Kes kehilangan seorang remaja di Bukit Broga masih lagi hangat diperkatakan walaupun remaja berkenaan telah ditemui dengan selamat. Berbagai andaian mengatakan bahawa Azarul telah disembunyikan oleh makhluk halus atau orang bunian. Namun, hanya Azarul yang tahu mengenai misteri berkenaan.

Terdahulu, Mohd Azarul Mukhriz Abd Rahman, 20, dia telah dijumpai oleh sekumpulan pendaki yang kebetulan sedang mencari kawasan puncak Gunung Tok Wan iaitu di antara puncak Bukit Broga dan Gunung Tok Wan.

Satu perkongsian berkaitan dengan misteri kehilangan Azarul telah dimuat naik oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Yusreen Erin di media sosial.

Misteri Remaja Hilang Di Bukit Broga

Azarul hilang pada 22 Januari 2017 dan dijumpai semula pada 28 Januari 2017.

Sekilas apa yang dilalui oleh adik Azarul sepanjang dia tersesat ke alam lain.

Semasa dia berada di sana, dia telah dijaga oleh beberapa orang lelaki yang dipercayai memakai jubah berwarna putih, dia hanya nampak 2 orang perempuan sahaja di antara lelaki-lelaki tersebut. Perempuan itu sangat cantik seperti bidadari dan tidak dapat digambarkan bagaimana cantiknya mereka.

Menurut Azarul dia telah ditawarkan untuk berkahwin dengan salah seorang perempuan berkenaan. Tetapi Azarul menolaknya dengan baik.

Katanya, terlalu banyak syarat jika dia bersetuju berkahwin. Antara syarat tersebut dia tidak boleh balik dan menemui ibu dan ayahnya. Sekiranya Azarul melanggar syarat tersebut Azarul akan menjadi gila dan perempuan itu akan menjadi cacat.

Semuanya bermula pada hari ketiga Azarul berada di sana dan telah diajak berkahwin dengan perempuan tersebut. Namu, Azarul menolak pelawaan tersebut sehinggalah sampai hari yang ketujuh, Azarul tetap menolak pelawaan perempuan itu.

Disebabkan Azarul tetap menolak untuk berkahwin dengan perempuan itulah dia telah dilepaskan dan dapat keluar daripada tempat itu. Katanya, sekiranya Azarul tidak dapat balik pada hari yang ketujuh bermakna Azarul akan dikahwinkan dengan perempuan itu.

Di sana, Azarul masih boleh bersolat seperti biasa dan di sana juga hanya boleh membuang air kecil sahaja dan tidak boleh membuang air besar. Dan menurut Azarul di sana mereka hanya beribadat sahaja.

Menurut Azarul lagi, semasa hari kejadian iaitu hari Azarul hilang, dia ternampak seorang budak dan budak itu mengajak Azarul mengikutnya.
Kata Azarul dia melihat dua persimpangan jalan iaitu kiri dan kanan. Azarul telah memilih jalan ke kiri. Itulah punca yang menyebabkan Azarul sesat. Semasa dia di sana, Azarul berkata dia duduk di dalam sebuah gua dan tidur di atas batu.

Ini adalah antara cerita Azarul yang telah diceritakan kepada Encik Roslie sewaktu Azarul duduk bersama Encik Roslie di dalam wad Hospital Kajang baru-baru ini. Sesungguhnya hanya Allah yang maha mengetahui segala-galanya.

Jika kita fikirkan semula apa yang telah diceritakan, ianya seperti tidak logik dan seperti direka-reka, namun semua ini dan misteri ini hanya Azarul yang hadapi dan tahu kebenarannya.

Berikut adalah screen shoot dari status facebook Cik Yusreen Erin:


Tak sangka pinjam DVD boleh dapat duit

HOUSTON - AMERIKA SYARIKAT. Seorang wanita tidak menyangka tindakannya menyewa sebuah DVD akan mendapat AS$100 (RM443) lapor Mirror.co.uk.

Di samping wang tunai tersebut turut terselit sebuah nota daripada insan yang bernama Marcos.

"Hello, nama saya Marcos, setiap bulan saya akan memberikan AS$100 dolar kepada orang yang tidak dikenali.

"Untuk bulan ini, saya memutuskan untuk menukar cara dan letakkan di dalam DVD yang disewa. Tahniah, anda orang pertama yang menerima sumbangan ini untuk tahun 2017," tulisnya di dalam nota.

Selain itu, nota tersebut turut memberitahu agar gunakan duit itu sebaiknya atau berikan pada mereka yang lebih memerlukan. 

"Saya hanya meminta anda menggunakan wang itu sebetulnya dan jika tidak perlukannya, beri pada orang lain namun jika ia membantu dirimu, simpanlah ia," tulisnya lagi. 

Anak kepada wanita tersebut yang hanya dikenali sebagai Liz kemudian memuat naik status di laman Twitter dan ia menjadi viral sehingga berita tersebut pada Marcos.

Marcos kemudiannya menulis Tweet pada Liz menyatakan rasa bersyukurnya apabila dapat membantu seseorang.

"Kecilnya dunia internet ini, anak saudara saya nampak Tweet anda dan menghantarnya kepada saya. Saya merasa seronok dapat membuat ibu anda gembira," tulisnya. - Sinar Harian

We are a ‘chin chai’ country

From T K Chua

Tragedy has struck again, this time on a catamaran loaded with holiday-makers off Sabah.

Now the police have detained the owner, the skipper and a crewman for investigation. So far, two are confirmed dead while five others are still missing.

By all means, investigate but I think it will not compensate the mental anguish of those who have suffered the ordeal or bring back the lives of those who have died.

I remember not long ago there was a Pulau Tioman ferry fire which took a few lives as well. We were told in that incident the crew abandoned the passengers to fend for themselves when the ferry was in flames.

Without fail, we can see the common thread running through all these unfortunate incidents — no clear standard operating procedures, lack of professionalism and training of the crew, no safety precautions, overloading, non-compliance with regulations, and no clear search-and-rescue response time and procedures.

Why are we such a cowboy country doing things this “chin chai” way?

We can look at this problem in so many ways.

First, maybe there are no proper regulations governing ferry services at sea.

Second, even if regulations exist, maybe no one is really aware of them.

Third, the operators don’t care because no one is enforcing the regulations anyway.

Let’s be realistic; I think Malaysia is far from becoming a developed country.

We do not have professional regulators, enforcers, owners/operators and rescuers. We leave it to chance and the whims of owners/operators and their half-baked skippers.

Tourism and Culture Minister Mohamed Nazri Abdul Aziz may try very hard to promote tourism but sometimes it is incidents like this that have done the most damage to our country. - Free Malaysia Today

TK Chua is an FMT reader.

Along tikam bapa penghutang, samun keluarga, bakar motor

TANGKAK: Polis memburu 3 lelaki warga tempatan yang dipercayai menganggotai kumpulan ‘along’ yang merampas barang berharga dan wang tunai daripada 1 keluarga di Sungai Mati, dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohad Idris Samsuri berkata pada kejadian awal pagi Tahun Baharu Cina tersebut, pengadu wanita berusia 23 tahun itu didatangi 3 lelaki yang membuat bising di luar rumah memintanya membayar hutang berjumlah RM2,000.

“Ketiga-tiga suspek kemudian bertindak ganas membakar motosikal yang berada di hadapan rumah apabila pengadu tidak berani keluar dari rumah setelah diugut oleh suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohad Idris berkata nasib malang menimpa bapa mangsa yang berusia 46 tahun, apabila dia bertindak keluar dari rumah dan ditikam dengan senjata tajam yang disyaki sebilah pisau oleh seorang daripada suspek.

“Ketiga-tiga suspek kemudian masuk ke rumah dan merampas barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa dianggarkan bernilai RM4,000 sebelum melarikan diri,” kata beliau.

Beliau berkata bapa mangsa yang merupakan seorang tukang baiki mesin jahit kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Hasil siasatan awal mendapati abang kepada mangsa meminjam wang sebanyak RM2,000 dan melarikan diri apabila gagal menjelaskan hutangnya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan kecederaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana dengan menggunakan api.

Menurut Mohad Idris pihaknya mengenal pasti 2 daripada suspek dan masih menyiasat seorang lagi suspek yang belum dikenali.

Sehubungan itu, polis ingin menghubungi Ker Chian Hau, 25, dan Vincent Jauy Joo Sen, 24, yang juga rakan kepada abang mangsa, bagi membantu siasatan.

Mohad Idris meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga suspek supaya menghubungi balai polis yang berhampiran. - Free Malaysia Today

Monday 30 January 2017

Bot karam: 1 keluarga terselamat, batal hasrat kerana bot sarat

KOTA KINABALU: Tiga termasuk pemilik bot pelancong katamaran yang karam ketika membawa pelancong China ke Pulau Mengalum ditahan polis petang ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, pemilik bot itu iaitu lelaki tempatan berumur 44 tahun, ditahan di sekitar Kota Kinabalu kira-kira pukul 4.00 petang.

“Polis akan mendapatkan perintah reman ke atas pemilik bot kerana polis mendapati pemilik yang juga pengurus bot pelancong itu tidak mengikuti aturan yang betul, termasuk membawa penumpang melebihi kapasiti bot.

“Polis juga akan menyiasat jika wujud faktor kecuaian sehingga menyebabkan kematian,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan kes itu di sini hari ini.

Selain pemilik bot itu, Ramli berkata polis turut mendapat perintah reman sehingga 2 Januari ini ke atas 2 kru bot yang diselamatkan semalam.

Beliau turut memaklumkan hanya 27 pelancong China menaiki bot tersebut – bukan 28 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menurutnya, seorang pelancong lelaki dikenalpasti sebagai Li Qun, 33, bersama keluarganya mendaftar untuk menaiki bot berkenaan untuk melawat Pulau Mengalum.

“Bagaimanapun, pelancong itu dan keluarganya telah membatalkan hasrat mereka itu setelah melihat bot itu sarat dengan penumpang.

“Bagaimanapun, namanya masih tertera dalam senarai daftar penumpang sedangkan nama anggota keluarganya telah dipadamkan,” jelasnya.

Ramli menambah operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini tertumpu kepada pencarian 4 pelancong China dan seorang kru.

Polis akan terus menyiasat jika terdapat pelancong dalam senarai daftar penumpang tetapi tidak menaiki bot berkenaan.

Beliau juga berkata 3 pasukan siasatan ditubuhkan untuk kes itu – 1 pasukan bagi menyiasat laporan mati mengejut dan 1 pasukan perhubungan (liaison team) untuk melihat kebajikan mangsa.

“Pasukan ketiga yang ditubuhkan ialah pasukan khas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Sabah bagi menyiasat unsur cuai yang menyebabkan kematian di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya.

Mengenai 20 mangsa yang diselamatkan, Ramli berkata 12 daripadanya dalam keadaan stabil tetapi keletihan, manakala 8 mengalami kulit melecur dan mengelupas, kaki bengkak dan kesukaran untuk berjalan.

Semua mereka mendapat perhatian perubatan Hospital Queen Elizabeth di sini.

Bagi 3 mangsa yang mati pula, beliau berkata bedah siasat sedang dilakukan.

Bot jenis katamaran itu yang membawa 3 anak kapal dan 27 pelancong dari China dipercayai karam disebabkan angin kencang dan ombak besar pada 10.00 pagi Sabtu, sejam selepas mereka meninggalkan jeti Tanjung Aru di sini menuju Pulau Mengalum, kira-kira 56 km ke barat laut Kota Kinabalu.

Semalam, 2 kru dan 20 pelancong warga China diselamatkan di perairan Semarang dekat Labuan, manakala 3 lagi pelancong China terkorban dalam tragedi itu. - Free Malaysia Today