Saturday 29 July 2017

Menyorok Di Rumah Lepas Langgar Lari


BANTING – Seorang murid lelaki mengalami kecederaan parah selepas menjadi mangsa langgar lari ketika hendak melintas jalan di Jalan Sultan Abdul Samad, dekat sini, semalam.

Menurut ibu saudara mangsa, pelajar dari Sekolah Kebangsaan Jugra itu dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux kira-kira jam 6 petang ketika pulang dari sekolah agama.

Bagaimanapun, pemandu Hilux itu dikatakan tidak berhenti dan sebaliknya melarikan diri dari tempat kejadian meninggalkan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pasukan paramedik bergegas ke tempat kejadian untuk memberikan rawatan kepada mangsa yang seterusnya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan lanjut.

“Sekarang anak saudara saya masih berada di zon merah di hospital. Terdapat pendarahan di kepala dan bahagian tengkorak di kawasan matanya retak,” kata Zurita Abdul Hamid.


Tambah wanita itu, pihak keluarganya telah membuat laporan polis mengenai insiden itu dan difahamkan pemandu tidak bertangungjawab itu kini telah dikenal pasti.

“Laporan polis telah dibuat dan kereta Hilux yang langgar lari itu pun sudah dikesan. Cuma saya rasa terkilan kepada pemandu berkenaan yang menganggap hal ini perkara kecil.

“Langgar lari satu hal, lepas tu ibu bapa si pemandu berkenaan pula cuba menyorokkan anak mereka dalam rumah. Tak bermakna awak berada awak boleh buat sesuka hati,” katanya lagi.

Tambahnya, anak saudaranya itu yang sebelum ini berada di zon merah HTAR mungkin akan dihantar ke Hospital Sungai Buluh untuk rawatan lanjut.

Sehingga kini, netizen di media sosial mengecam keras tindakan pemandu tidak bertanggungjawab berkenaan yang dilihat seakan-akan cuba ‘mengelak’ gara-gara mengakibatkan kemalangan.

“Kurang ajar betul yang langgar lari tu… mohon warga Kuala Langat mana yang tahu tolong beri kerjasama. Kita bawa ke muka pengadilan, Ya Allah selamatkan la adik ini, Tabahkan keluarga beliau,” tulis seorang netizen. - MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments