Saturday 29 July 2017

Ibu Maut Dilibas, 8 Anak Landak Disusui Kucing Ini


MOSCOW – Lapan ekor anak landak nyaris kebuluran di sebuah zoo di Vladivostok, kira-kira 9,159 kilometer dari ibu kota Rusia; sebelum seekor induk kucing yang baik tampil menjadi ibu angkat.

Media tempatan melaporkan, kucing betina bernama Muska ini sanggup menjadi ibu susuan kepada haiwan kecil yang berbulu runcing itu setelah induk mereka mati secara tragik dalam insiden dilibas mesin pemotong rumput.

Landak-landak kecil itu pada mulanya ketika ditemui dikatakan menolak minum susu disuap dari botol, waima menerusi cara sedutan atau piring kecil selama dua hari, menurut kenyataan pihak pengurusan Zoo Sadoya.

Pada malam hari yang amat sejuk, bayi landak itu diberi bantal pemanas untuk menghangatkan perut mereka dan juga sebagai menggalakkan sistem pencernaan. Namun, usaha tersebut langsung tidak membuahkan apa-apa hasil.

Secara kebetulan pihak zoo teringat kepada Muska yang sebelum ini rajin membesarkan anak-anaknya, sekali gus memutuskan untuk cuba pula pengasuhan luar biasa, iaitu memberikan air susu kucing kepada bayi landak.



Ajaibnya, anak-anak landak berkenaan yang memang agak teruk kelaparan itu langsung memberi reaksi positif terhadap kehangatan tubuh si kucing berwarna gelap tersebut bahkan menerima bau susu dan mulai menyusu.

Mamalia comel yang baik hati itu mula memberi makan kepada anak-anak landak selama lebih daripada satu minggu selain sanggup menidurkan mereka pada malam hari seperti anaknya, menurut akhbar tempatan, Vesti.

Bayi-bayi landak itu kini sudah dapat makan sendiri, meskipun Muska yang menjadi induk mereka masih lagi mengawasi proses tumbesaran harian dan ia turut dikongsi oleh pihak zoo menerusi akaun Instagram rasmi.

Antara foto dimuat naik itu menunjukkan bayi landak itu tengah tidur lena dalam mangkuk makanan. Jurucakap zoo, Sadgorod Alyona Asnovina menyatakan, kawanan landak banyak ditemui di wilayah timur Rusia tahun ini.

Ini bukan pertama kali seekor kucing merawat bayi landak yang kehilangan induknya di Rusia. Pada 2012, seekor kucing bernama Sonya mengasuh empat ekor bayi landak bersama anaknya sendiri. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments