Saturday 29 July 2017

Konco Ahlong Kurang Ajar Tersilap Simbah Cat


“MINTA maaf kerana tersilap simbah cat.”

Itu kata lelaki dipercayai ahlong dengan mudah mengungkapkan kata-kata berkenaan selepas menyimbah cat merah pada dua kereta di Taman Puchong Perdana, Selasa lalu.

Nazihah Suliman, 28, seorang daripada dua mangsa yang kereta mereka disimbah cat berkata, kejadian berlaku pada 10 malam dan dia mengetahui mengenainya selepas menerima panggilan telefon daripada jiran.

Katanya dia baru kematian kehilangan ibu dan ketika dimaklumkan mengenai perkara itu dia sekeluarga baru selesai tahlil.

“Kami sekeluarga tidak sempat rehat selepas majlis pengebumian arwah ibu, jiran telefon pula beritahu ada sesuatu terjadi pada kereta yang saya parkir di sebelah rumah.

“Apabila keluar, terkejut mendapati kereta Nissan Sentra dan Perodua Bezza milik rakan yang datang menziarah, dipenuhi cat merah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, individu yang menyimbah cat itu ada meletakkan nombor telefon pada tembok pagar rumah jirannya itu.

“Ini perbuatan ahlong dan saya hubungi nombor yang ditampal itu.

“Bagaimanapun, lelaki itu menjawab dia tersalah sasaran dan memohon maaf,” katanya.

Nazihah berkata, jirannya membenarkan dia meletakkan kereta di hadapan rumah berkenaan.

“Rumah sebelah disewa warga Indonesia, jadi mereka tidak mempunyai kereta. Pemilik rumah benarkan saya parkir.

“Saya difahamkan ada individu menggunakan alamat itu untuk meminjam wang Ahlong, namun kereta adik dan rakan saya jadi mangsa disimbah cat merah,”katanya.

Nazihah berkata, ia kejadian kali kedua yang berlaku di rumah jirannya itu.

“Sebelum ini, mereka (Along) pernah datang dan simbah cat. Tidak sangka Selasa lalu, saya pula jadi mangsa,” katanya.

Menurut Nazihah, dia mengambil masa tiga jam bagi membersihkan cat itu.

“Kalau hantar ke kedai pasti kosnya tinggi. Jadi, saya gunakan minyak petrol untuk cuci tompokan cat,” katanya. – myMetro Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments