Wednesday 26 July 2017

Warga Malaysia Dikecualikan Cukai Pelancongan


KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia bakal dikecualikan sepenuhnya daripada dikenakan Cukai Pelancongan yang sepatutnya dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Ogos depan.

Sebaliknya, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, cukai baru tersebut hanya akan hanya dikenakan kepada pelancong warga asing pada kadar rata RM10 seorang sebilik.

Beliau malahan berkata bahawa bayaran cukai baharu berkenaan adalah bagi semua hotel di seluruh negara daripada jenis bajet yang memang langsung tiada bintang sehingga kepada mewah bertaraf lima bintang.

Ujar Mohamed Nazri, langkah pengecualian cukai tersebut kepada rakyat Malaysia dibuat hasil dari perjumpaan dengan banyak pihak berkepentingan dan selepas berbincang serta mendengar pandangan mereka.

“Kadar sama rata hanya sebanyak RM10 akan dikenakan kepada semua pelancong asing daripada hotel yang bertaraf lima bintang sehingga tiada bintang membabitkan setiap malam dan bilik,” kata beliau lagi.

Mohamed Nazri menyatakan demikian ketika bangun menjawab soalan daripada Anthony Loke (DAP-Seremban) mengenai status terkini pelaksanaan cukai berkenaan pada sesi persidangan Dewan Rakyat, di sini Rabu.

Beliau bahkan tidak melihat kadar RM10 itu membebankan pelancong asing kerana jika mengikut tukaran wang ringgit, ia hanya sekitar 2.00 euro atau US$2.33 atau 1.80 pound sterling atau $3.20 dolar Singapura.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada peringkat permulaan, Kabinet memutuskan pelaksanaan Cukai Pelancongan bermula 1 Julai lalu tetapi kini terpulang kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia menentukan tarikh baharu.

Ini kerana ujar Mohamed Nazri, ia hanya akan mula dikutip selepas pihak Kastam sebagai agensi pelaksana selesai menyediakan mekanisme berhubung kaedah kutipan pelaksanaannya yang memerlukan sedikit masa.

“Antara sebab kita memutuskan mengenakan kadar rata RM10 ini adalah kerana mahu memudahkan pihak Kastam untuk mengutip cukai ini. Jika mengikut kadar sebelum ini, (hotel) lima bintang dikenakan caj RM20.

“Manakala yang empat bintang pula RM10, RM5 untuk jenis tiga bintang serta RM2.50 bagi hotel dua bintang ke bawah. Maka mekanisme pengutipan sebegitu memerlukan pihak Kastam melakukan banyak kerja.

“Tetapi jika kadar rata seragam RM10, cukup mudah. Mereka tidak perlu bimbang, kita tahu sahaja berapa bilik telah disewa oleh hotel itu, RM10 itu kita punya. Maka tidak perlu sediakan mekanisme yang kompleks.

“Soal bilakah (cukai ini akan dilaksanakan), terpulang kepada pihak Kastam sendiri. Kita sudah minta asalnya pada 1 Julai, tetapi mereka tidak bersedia dan kemudian ditunda lagi kepada 1 Ogos depan.

“Akhirnya tarikh baharu ini akan ditentukan kemudian apabila pihak Kastam sudah bersedia untuk mendaftar dan mengutip cukai ini,” kata Mohamed Nazri lagi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments