Wednesday 19 July 2017

Percaya Suplemen, Akhirnya Leher Terpaksa Ditebuk


TIDAK dinafikan perkembangan teknologi masa kini amat berguna dan memudahkan pengguna untuk mendapatkan maklumat di hujung jari.

Tapi, jangan membuta tuli mempercayai terus apa yang dipaparkan terutama dalam media elektronik yang diketahui sejauh mana kesahihannya.

Sekiranya sakit, kita seharusnya merujuk kepada pihak yang betul-betul mengetahui dan lebih arif berkenaaan penyakit tersebut untuk mendapatkan nasihat.

Bukan hanya memandai-mandai, kesannya diri sendiri yang menanggung.

Berdasarkan kisah dikongsi Pakar Perunding Perubatan dan Buah Pinggang, Dr. Rafidah Abdullah di laman Facebooknya baru baru ini mengenai ketaksuban terhadap suplemen untuk sakit lutut, akhirnya leher terpaksa ditebuk!

Kisah tersebut tentang seorang mak cik berusia lingkungan 65 tahun yang mengalami masalah lutut tetapi tidak pernah berjumpa pakar ortopedik apatah lagi melakukan imbasan X-ray.

Sepanjang sakit, mak cik tersebut hanya mengambil suplemen campuran yang diketahui fungsinya daripada iklan semata-mata.

Pada awalnya, memang mak cik tersebut mampu berjalan seperti biasa tetapi hanya untuk waktu yang sementara.

Ketika dirujuk ke hospital, doktor mendapati buah pinggang mak cik tersebut telah rosak sehingga menyebabkan lehernya terpaksa ditebuk bagi tujuan dialisis buah pinggang.

Ngeri! Kita yang baca pun sudah rasa sakit inikan pula mak cik itu yang menanggungnya.

Mak cik terbabit dikatakan menyesal dengan tindakannya sebelum ini yang ambil mudah dan mempercayai segala hal secara membuta tuli.

Dr. Rafidah justeru menasihati orang ramai sekiranya mengalami masalah yang sama, segeralah merujuk dengan doktor dan jika perlu, terus kepada pakar ortopedik bagi melakukan ujian X-ray.

Selain itu, jangan sesuka hati mengambil suplemen tanpa berbincang dengan doktor terlebih dahulu.

Jika terdapat gejala kegagalan buah pinggang, berbincanglah dengan doktor dan sekiranya disaran melakukan ujian lanjut, jangan tangguh!

Selain itu, Dr. Rafidah turut memberi saranan menggunakan buah delima yang asli dan dibancuh sendiri kerana ia adalah lebih berkhasiat berbanding yang sudah siap diproses. Yang asli itulah yang bagus! Jimat duit, kesihatan pun terjaga.

“Nak ambil pati ke, jus ke, pergilah beli buah delima di supermarket. Sangat berkhasiat yang itu. Bancuh sendiri, nak buat apa dengan buah delima segar itu, buatlah,” katanya.

Oleh itu, bersamalah kita mengambil iktibar atas kejadian ini.

Rujuk pihak yang arif sekiranya tidak pasti. Sesungguhnya kesihatan yang baik itu menjamin masa hadapan yang cerah.

Dr. Rafidah Abdullah merupakan seorang doktor sejak 1996 dan pakar buah pinggang sejak 2005. Beliau juga merupakan salah seorang ahli aktif #MedTweetMY di laman Twitter. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments