Monday 13 February 2017

Sekumpulan lelaki ditahan curi bahan radioaktif


SHAH ALAM: Polis menahan sekumpulan lelaki selepas menemui beberapa bahan radioaktif dipercayai “Iridium 192” yang disembunyikan dalam bilik kabel telefon berhampiran sebuah pangsapuri di Seksyen 36 di sini, malam tadi.

Menurut sumber polis, penahanan sekumpulan lelaki itu dibuat susulan penemuan beberapa objek berbentuk bom oleh pemilik kedai besi terpakai di Kampung Jawa, Klang, Khamis lepas.

“Siasatan awal menunjukkan bahan radioaktif yang dijual di kedai itu dilaporkan dicuri dari sebuah syarikat cari gali minyak di Klang baru-baru ini.

“Polis kemudian mengenal pasti individu yang menjual bahan berkenaan sebelum membuat serbuan ke sebuah unit pangsapuri di Seksyen 36 kira-kira 8.30 malam tadi dan menahan beberapa individu,” katanya.

Susulan tangkapan itu, polis turut merampas beberapa lagi bahan radioaktif yang disembunyikan di sebuah bilik kabel telefon di pangsapuri berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Alzafny Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas mengenainya.

“Buat masa ini polis menahan beberapa individu untuk membantu siasatan berhubung kes itu dan maklumat lanjut akan kita maklumkan kemudian…apa yang saya boleh nyatakan bahan yang ditemui itu berbahaya jika bocor kerana mempunyai radiasi,” katanya. - FMT

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments