Saturday 11 February 2017

Usah salah guna lampu kecemasan

RASANYA kebanyakan pengguna kenderaan memahami apakah kegunaan lampu kecemasan (hazard lights) atau dipanggil juga lampu isyarat berkembar di kenderaan masing-masing. 

Secara am, penggunaan lampu kecemasan bertujuan memberi isyarat bahawa kenderaan dipandu sedang menghadapi masalah atau berhadapan bahaya yang mana pemandu perlu memperlahankan kenderaan sebelum berhenti. 

Perkara asas yang perlu difahami di sini ialah nyalaan lampu kecemasan itu hendaklah semasa kenderaan berhenti dan tidak bergerak langsung. 

Namun, terdapat segelintir pengguna 'kurang bijak' sesuka hati menggunakan lampu kecemasan, terutama ketika hujan lebat, juga tidak kurang yang menggunakannya ketika memandu secara berkonvoi. 

Mungkin niat mereka untuk memudahkan kenderaan yang dipandu dilihat atau menarik perhatian ramai, namun yang pastinya penggunaan lampu kecemasan ketika hujan lebat serta ketika berkonvoi memang menyusahkan pengguna jalan raya lain. 

Seperti yang kita tahu, lampu kecemasan apabila suisnya diaktifkan akan berkelip secara serentak di kiri dan kanan. 

Justeru, akan timbul kekeliruan sama ada kenderaan terbabit sedang berhenti atau masih lagi berjalan di atas jalan raya. 

Lagi satu bahaya yang mungkin timbul dengan penggunaan lampu kecemasan semasa hujan lebat adalah ketika kenderaan terbabit ingin menukar lorong. 

Pemandu di belakang sudah pasti keliru sama ada pemandu terbabit ingin ke kiri atau ke kanan. 

Justeru, cukuplah dengan menyalakan lampu besar di kereta untuk memastikan kenderaan cukup jelas kelihatan semasa hujan lebat. 

Bagi yang berkonvoi pula, jangan sesekali menyalakan lampu kecemasan walaupun pihak berkuasa selalu menggunakan lampu kecemasan ketika mengiringi konvoi. - BH Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments