Wednesday 1 February 2017

Budak 11 tahun reka cerita diculik kerana takut kena marah

BANTING - Seorang kanak-kanak 11 tahun yang mendakwa cuba diculik sekumpulan tiga lelaki di Kampung Endah awal pagi semalam dipercayai mencipta cerita kerana takut dimarahi bapanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, mangsa mengaku mereka cerita berkenaan selepas pulang lewat ke rumah kira-kira jam 1.30 pagi.

Menurutnya, polis meminta kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu kerana tiada unsur jenayah.

"Kanak-kanak itu dibawa ke IPD Kuala Langat semalam untuk siasatan lanjut dan mengaku mereka cerita mengenai kejadian itu.

"Mangsa mengesahkan dia sebenarnya takut untuk balik ke rumah setelah terpadam (terdelete) aplikasi WhatsApp dan Facebook di telefon bimbit kepunyaan bapanya secara tak sengaja semasa menggunakan telefon bimbit berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Azizan berkata, mangsa mengesahkan beliau telah keluar dari rumah dan bersembunyi di belakang rumahnya dan tertidur di situ sehingga tengah malam.

Katanya, sebaik terjaga pada jam 1 pagi mangsa telah balik ke rumah dan berjumpa dengan seorang abangnya menceritakan hal yang sebenar.

"Rakaman percakapan ke atas bapa mangsa juga mengesahkan bahawa anaknya telah mereka cerita berkaitan cubaan culik ke atasnya dan berasa amat kesal dengan perbuatan anaknya itu kerana telah membabitkan dan menyusahkan banyak pihak," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak 11 tahun didakwa diculik namun Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abu Samah Mat memaklumkan pihaknya masih menyiasat sama ada kes itu benar atau tidak.

Menurutnya, kanak-kanak itupun tidak cedera dan siasatan masih lagi dilakukan supaya fakta yang diberikan oleh kanak-kanak terbabit sahih dan bimbang jika perkara itu terus dimanipulasikan. - Sinar Harian

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments