Thursday, 23 February 2017

Wanita Lahirkan Bayi Di Tepi Lif Pejabat Tanpa Bantuan


ALAHAI, bertuahnya si ibu ini. Jika wanita lain terpaksa ambil masa berjam-jam untuk bersalin dan tahan sakit akibat digunting, namun berbeza kisah dialami wanita bernama Nurul Munirah Hussin ini.

Ini kerana, proses kelahiran ibu hamil itu ‘terlalu cepat’ hinggakan terpaksa menyambut kelahiran anaknya di tepi lif pejabat di Subang, Selangor, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, semalam.

Nurul Munirah, 32, selamat melahirkan bayi lelakinya seberat 2.7 kilogram pada usia kandungan 37 minggu.

Mengimbas kembali sebelum insiden mencemaskan itu, dia memberitahu, pada mula berasa sakit kontraksi kira-kira jam 10 malam sebelum mengajak suami ke hospital kira-kira 12 tengah malam.

“Saya tidak sedap hati dan terus ajak suami untuk ke hospital kira-kira jam 12 tengah malam. Bagaimanapun, sebelum itu saya meminta suami untuk singgah di pejabat yang tidak jauh dari kediaman kami untuk mengambil buku rekod kehamilan yang tertinggal.

“Sebaik saja sampai di pejabat, saya mengambil buku rekod itu, namun tiba-tiba saya terasa ingin membuang air kecil.

“Bagaimanapun, ketika di dalam tandas, saya dapat merasakan sebahagian kepala anak dalam kandungan sudah keluar,” katanya.

Nurul yang bekerja sebagai kerani kemudian menuju ke lif sebelum mendapati sakitnya semakin kuat dan nekad untuk bersalin kerana bimbang kandungannya lemas.

“Pada waktu itu, saya baring dan mula meneran seperti biasa hanya ditemani anak sulung berusia tujuh tahun, manakala suami dan anak lelaki berusia empat tahun memanggil anggota keselamatan di bangunan itu serta hubungi ambulans.

“Waktu itu, anak perempuan saya hanya berdiri di sebelah sambil memerhatikan saya meneran sehingga bayi lelaki berjaya dikeluarkan,” katanya yang sepatutnya dijangka bersalin 10 Mac.

Nurul kemudian bertindak menanggalkan tudungnya dan membalut anaknya bagi mengelakkan sebarang jangkitan berlaku memandangkan permukaan lantai yang tidak bersih dan sejuk.

“Saya hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk melahirkan anak saya ini, sebelum pihak ambulans datang dan membawa kami ke Hospital Putrajaya,” katanya kepada BH Online.

Bayi lelaki Nurul Munirah itu kini terpaksa ditahan di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal di sebuah hospital bagi memastikan tiada jangkitan. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments