Monday 27 February 2017

Filipina Kutuk Perbuatan Penggal Kepala Warga Jerman


KUALA LUMPUR: Kerajaan Filipina mengutuk tindakan memenggal kepala tebusan warga Jerman oleh kumpulan Abu Sayaf yang memuat naik video pembunuhan kejam itu selepas tarikh pembayaran wang tebusan $600,000 (483,247.42 pound) telah berakhir.

Video itu menyaksikan Jurgen Kantner dipenggal oleh militan bersenjatakan parang.

Penasihat Presiden bagi Proses Perdamaian, Jesus Dureza berkata pihak berkuasa telah berusaha keras untuk membebaskan Kantner yang dipercayai ditahan di kepulauan Jolo tetapi rundingan menemui jalan buntu.

"Kami bersedih dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan itu terhadap seorang lagi mangsa culik.

"... keganasan tiada tempat di negara kami. Insiden pembunuhan insan tidak bersalah ini perlu dihentikan," kata Dureza dalam satu kenyataan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nilai wang tebusan yang diminta.

Kantner dan sahabatnya diculik pada November ketika sedang berlayar di Sabah sebelum dilarikan ke kepulauan Jolo.

Rakannya ditembak mati ketika cuba melawan kumpulan militan itu.

Pada tahun lalu, kumpulan Abu Sayyaf telah memenggal kepala dua rakyat Kanada di kepulauan Jolo tetapi dua sahabat mereka iaitu warga Filipina dan Norway telah dibebaskan. - Mstar

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments