SEJAK semalam, gambar seorang lelaki yang santai tertidur di atas sebuah lori sampah mula menjadi perhatian ramai apabila ia dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter.
Namun tindakan pengguna Twitter terbabit di Afrika Selatan yang menggunakan kapsyen humor seolah-olah mahu menghina individu berkenaan mendapat kritikan hebat daripada ramai netizen tempatan.
“Seorang lelaki yang tahu tempatnya,” kicau pengguna laman Twitter berkenaan yang menggunakan akaun nama @ReefliweSA.
Beberapa jam selepas itu, pengguna Twitter mula tampil mengkritik kapsyen yang dimuat naik individu berkenaan sebagai disifatkan tidak sensitif.
Ia kemudiannya menjadi lebih ‘panas’ apabila seorang pengguna Twitter @Zane, membalas kicauan itu dengan mengatakan;
“Lelaki yang bekerja keras ini bangun awal setiap pagi untuk melakukan kerja paling tidak disukai orang ramai demi beri makan kepada keluarganya dan sekarang, kamu ingin hina dia?”
Kicauan Zane itu mendapat lebih 110,000 ulang kicau dalam masa tidak sampai sehari ia dimuat naik. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan lokasi gambar pemungut sampah itu diambil.
Rata-rata pengguna Twitter yang lain turut bersetuju dengan Zane dan menyifatkan pemuat naik gambar itu sebagai tidak sopan.
“Tiada siapa yang mahu kerja ini dan dia lakukan untuk dapatkan duit. Dia boleh tidur jika dia mahu. Saya bersetuju ianya lawak yang kurang ajar,” tulis Cerri.
“Ayat yang bagus Zane. Kita tidak boleh buat lawak seperti itu, terdapat banyak cara lain untuk membuat lawak yang sama tetapi dengan lebih sopan,” tulis Jemias.
Bagaimanapun, ada juga yang mengatakan humor berkenaan tidak ditujukan kepada pemugut sampah itu, sebaliknya sebagai simbolik untuk ditujukan kepada lelaki yang tidak bertanggungjawab di seluruh dunia.
“Zane, kamu tidak faham lawak itu. Ia bermaksud bahawa ‘lelaki’ adalah sampah,” kata Dina. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments