Tuesday 28 February 2017

Jururawat dipaksa rawat militan


TRIPOLI: Seorang jururawat warga Filipina yang ditawan Daesh di bandar Sirte, Libya mendakwa dipaksa merawat militan dan memberi latihan perubatan bersama rakannya. 

Jururawat itu adalah antara kumpulan tujuh wanita, seorang lelaki dan kanak-kanak 10 bulan yang dihantar pulang dari Libya ke Filipina.

Mereka dibebaskan dari Sirte apabila tentera tempatan mengusir Daesh dari bandar itu tahun lalu. 

Militan Daesh mengambil alih kawalan penuh Sirte pada awal 2015, menukarnya kepada kubu kuat mereka di Afrika Utara dan menahan tebusan asing. 

Warga Filipina itu adalah kakitangan perubatan terdiri daripada pekerja asing yang sudah berada di bandar itu apabila ia diambil alih kumpulan tegar terbabit. 

"Apabila mereka mendapat tahu kami beragama Islam, mereka membebaskan kami namun dengan syarat kami perlu bekerja sebagai jururawat di hospital mereka dan melatih Daesh dalam penjagaan kecemasan serta kursus kejururawatan. 

"Ia detik yang menakutkan. Kami tidak tahu apa akan berlaku seterusnya. Mereka mengugut membunuh kami jika meninggalkan Sirte," kata jururawat berkenaan kepada media di sini. 

Kakitangan perubatan Filipina itu terus bekerja di hospital utama di Sirte, digunakan Daesh untuk merawat pejuang yang cedera sehingga militan terbabit diusir dari tengah Sirte Ogos lalu. - Reuters

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments