Tuesday 28 February 2017

Suspek pembunuhan Jong-nam didakwa esok


SEPANG: Dua wanita yang juga suspek utama kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, dijangka didakwa di Mahkamah Majistret, Sepang, esok.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata pihaknya sudah menerima kertas siasatan kes berkenaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sudah terima (kertas siasatan), akan didakwa di Mahkamah Sepang pagi esok, insya-Allah," katanya ringkas menerusi mesej WhatsApp berkaitan kes itu. 

Reman suspek wanita Vietnam, Doan Thi Huong, 29 dan warga Indonesia, Siti Aishah, 25, akan berakhir esok. 

Mereka direman selama 13 hari bagi membantu siasatan berhubung kes kematian Jong-nam yang dipercayai dibunuh di klia2, 13 Februari lalu. 

Siti Aisyah ditahan pada 16 Februari susulan penahanan Thi Huong di klia2, sehari selepas kejadian. 

Kedua-dua suspek dipercayai menggunakan bahan kimia dikenali sebagai agen saraf VX ke muka Jong-nam menyebabkan mangsa meninggal dunia. 

Terdahulu, pengamal media tempatan dan antarabangsa menunggu di Mahkamah Sepang di sini sejak jam 8 pagi kerana menyangkakan dua suspek terbabit akan dituduh hari ini. 

Selain itu, pihak media turut menunggu di luar perkarangan Balai Polis Cyberjaya bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kes berkenaan. - BHonline

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments