Tuesday 28 February 2017

Blogger Ditahan Buat Fitnah, Hasutan Terhadap Kepimpinan Negara


JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang blogger hari ini kerana dikatakan membuat kenyataan berunsur fitnah dan hasutan terhadap kepimpinan negara menerusi laman blog.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki bergelar datuk berumur 64 tahun itu ditahan kira-kira 3.30 petang di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, di sini.

“Polis Johor telah menerima satu laporan polis berkenaan kenyataan berunsur fitnah dan hasutan terhadap kepimpinan (negara) menerusi laman blog pada 3.06 petang, hari ini.

“Kenyataan tersebut boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata lelaki tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Polis Johor menasihati orang ramai supaya tidak membuat dan menyebarkan apa-apa kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman awam melalui mana-mana aplikasi komputer.

Orang ramai juga dinasihati tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana kenyataan dan tidak membuat andaian salah terhadap perkembangan isu semasa dalam negara tanpa merujuk kepada sumber yang sah dan boleh dipercayai, katanya. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments