Saturday 25 February 2017

Wanita, Abang Ipar Ditahan Sebar Berita Palsu


SIBU – Polis hari ini menahan seorang wanita dan abang iparnya kerana menyebarkan berita palsu mengenai jenayah dalam media sosial menerusi akaun Facebook wanita berkenaan, Khamis lepas.

Wanita berusia 20 tahun yang tidak bekerja dan abang iparnya berusia 45 tahun, yang bekerja sebagai kerani di sebuah agensi kerajaan, ditahan ketika dipanggil untuk memberi keterangan di balai polis Sibu Jaya di sini pada 12 tengah hari tadi.

Wanita berkenaan menggunakan moniker Bini Wat Gandai, dalam Facebook, membuat catatan kononnya sekumpulan budak samseng dari sebuah sekolah menengah di Sibu Jaya berkumpul di Town Villa untuk bergaduh dan melakukan keganasan.

Catatan pada pukul 11 malam itu turut dimuat naik beberapa keping gambar menunjukkan orang awam dan budak dengan berpakaian sekolah sehingga mnimbulkan kegusaran kepada penduduk di blok perumahan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Datuk Dev Kumar berkata susulan aduan penduduk blok berkenaan, sepasukan anggota polis telah dihantar ke sekolah berkenaan pagi semalam untuk menyiasat dan mendapati maklumat dalam Facebook itu tidak benar.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati wanita itu memperoleh maklumat tersebut daripada aplikasi WeChat abang iparnya dan kemudian dia salin dan tampal maklumat itu dalam kiriman Facebooknya tanpa mengesahkan kebenaran perkara itu.

Menurut, telefon bimbit milik kedua-dua suspek dirampas untuk tujuan siasatan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, polis Sarawak akan terus mengambil pendekatan tidak bertolak ansur terhadap penyebaran berita palsu dan maklumat yang salah dalam media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan dan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, walaupun kes tangkapan pengguna media sosial atas perbuatan menyebarkan berita palsu atau fitnah mendapat liputan luas di media namun masih ada pengguna tidak sedar dengan tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments