Sunday 26 February 2017

Rekod menaip 48 jam tanpa henti


Alor Setar: Seramai 48 pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), di sini, memecah rekod tersendiri apabila menaip selama 48 jam tanpa henti sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR), malam tadi.

Program The Longest Non-Stop Typing Relay yang berlangsung di Perpustakaan Al-Kindi II, Bangunan Suka Menanti KPTM bermula Khamis lalu jam 1 tengah hari dan berakhir 1 tengah hari semalam.

Pengarah program, Arif Hisyamuddin Bahari berkata, ia membabitkan pelajar semester satu hingga enam Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat yang terpilih selepas menjalani saringan menaip.

Katanya, faktor penyumbang kepada kejayaan mencipta rekod MBR itu membabitkan kriteria utama menguji kecekapan 48 pelajar apabila dikehendaki menaip selama 20 minit tanpa henti setiap seorang.

"Setiap pelajar menggunakan teknik 10 jari menaip dengan cara yang betul, menaip dengan kedudukan postur badan yang betul dan purata menaip setiap pelajar adalah tiga muka surat buku.

"Ketika sesi pertukaran peserta, setiap mereka diberikan masa kurang 10 saat untuk menukar dengan pelajar seterusnya menyambung proses menaip.

"Bagi memastikan tempoh pertukaran mengikut masa ditetapkan, setiap pelajar diselia dan dipantau oleh petugas yang terdiri daripada pensyarah dengan berpandukan ‘stop watch online’ yang dipasang layar di perpustakaan,” katanya.

Pengiktirafan MBR itu disampaikan wakil MBR Nurasyikin Ramli kepada Pengarah KPTM Alor Setar, Rosidi Omar.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisyam Hashim di sebuah hotel, malam tadi.

KPTM memecah rekod MBR sebelum ini (Oktober 2015) yang dilakukan oleh 72 pelajar Politeknik Port Dickson (PPD), Negeri Sembilan yang menaip menggunakan mesin taip selama 24 jam tanpa henti. - Mymetro

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments