Tuesday 28 February 2017

Jerung baham anjing di pantai Sydney


SYDNEY: Seekor jerung membaham seekor anjing yang berenang untuk mendapatkan kayu yang dilontar pemiliknya di pantai popular Sydney, mencetuskan amaran kepada pengunjung dan haiwan peliharaan supaya tidak menghampiri pantai. 

Anjing baka Staffordshire Terrier Amerika, berada di dalam air di Bonna Point Reserve di selatan Sydney Ahad lalu, sebelum diserang jerung.

"Kami melontar kayu ke dalam air. Air surut agak jauh dan ada kawasan dalam," kata pemilik anjing yang hanya mahu dikenali sebagai Nigel kepada Sydney Morning Herald. 

"Segala-galanya berlaku dengan pantas. Ia (jerung) terus menarik ke dalam air." 

Anjing bernama Molly itu berada kira-kira lima meter dari kawasan pantai dan tidak kelihatan langsung selepas insiden itu. 

"Jerung itu sepanjang kira-kira 3.5 meter dan cukup besar untuk menelan manusia," kata Nigel. 

Pihak berkuasa tempatan Majlis mengesahkan insiden itu. 

"Pengawal pantai majlis ini berada di pantai Kurnell untuk menasihatkan pengunjung dan pemilik haiwan supaya menjauhi kawasan air dan mereka sudah memasang papan tanda untuk memberi amaran kepada pengunjung awam mengenai kehadiran jerung," kata majlis itu dalam satu kenyataan, hari ini. 

Akhbar Herald melaporkan beberapa pengunjung turut mengesahkan terlihat jerung di kawasan berhampiran Botany Bay sepanjang bulan ini. 

Pakar berkata serangan jerung semakin meningkat berikutan sukan air semakin popular manakala aktiviti memancing juga banyak dilakukan berhampiran pantai, tetapi kehilangan nyawa manusia jarang berlaku. - AFP

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments