Saturday 25 February 2017

Polis Tahan 2 Lelaki, Rampas Bakakuk Di Papar


PAPAR – Polis menahan dua lelaki dan merampas satu senapang buatan sendiri atau bakakuk berserta 14 butir peluru dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kaiduan, dekat sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Papar DSP Nor Azizulkifli Mansor berkata bertindak atas satu laporan kes rogol, pihaknya melakukan serbuan itu dan menahan seorang lelaki berusia 57 tahun di rumah berkenaan kira-kira 5.50 petang.

“Serbuan itu dilakukan untuk mencari dan menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam satu kes rogol yang dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Papar kira-kira lima jam sebelum tangkapan itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut di rumah suspek, polis menemui selaras bakakuk bersama 14 butir peluru. Susulan siasatan terhadap suspek, kita menahan seorang lagi lelaki berusia 62 tahun di kampung sama kerana dipercayai menjual peluru itu kepada suspek pertama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek kedua mempunyai lesen memiliki senjata api dan peluru namun, menjual peluru berkenaan kepada orang lain.

“Suspek itu ditahan reman empat hari sehingga Isnin ini untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 11 Akta Senjata 1960,” katanya.

Suspek kedua pula ditahan reman tujuh hari sehingga Rabu depan untuk disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Azizulkifli berkata sebelum tangkapan itu, pihaknya menerima laporan seorang remaja berusia 15 tahun yang mendakwa dirogol suspek pertama yang juga mempunyai kaitan keluarga dengan mangsa itu.

“Kita masih menyiasat dakwaan mangsa yang kini hamil 10 minggu,” katanya. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments