PARIT BUNTAR – Telur yang kotor dan tidak dicuci merupakan antara kesalahan yang dilakukan dua kilang memproses telur masin di Kuala Kurau dan Tanjung Piandang di sini.
Exco Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata penyimpanan tanah liat untuk pemprosesan telur tersebut turut terdedah dengan serangga dan bakteria.
“Ulat juga dikesan pada telur selain telur yang pecah tidak dibersihkan,” katanya kepada pemberita semasa menyertai Operasi Penguatkuasaan Program Jaminan Keselamatan Makanan, di sini hari ini.
Operasi dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari itu membabitkan 40 anggota penguat kuasa daripada Jabatan Kesihatan Perak, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Majlis Derah Kerian.
Beliau berkata kedua-dua kilang yang beroperasi antara tujuh hingga 50 tahun tahun itu telah diberi notis kerana gagal mematuhi peraturan 9 (1) Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Dr Mah berkata pihaknya bimbang keadaan kilang yang tidak bersih boleh memberi impak kepada pengguna terutama dalam soal kebersihan dan jaminan keselamatan makanan yang boleh mengancam kesihatan orang ramai.
Susulan pemberian notis selama 14 hari, pemeriksaan lanjut akan dibuat untuk memastikan kilang mematuhi kebersihan dan jika gagal, denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau dikenakan kompaun boleh dikenakan kepada pemiliknya, katanya.
Dalam operasi itu, sebanyak 2,340 biji telur masin dengan nilai keseluruhan RM2,352 turut dirampas.
Beliau berkata Perak mempunyai 890 buah premis pengilangan makanan dan daripada jumlah itu 13 kilang telah memperoleh sijil Amalan Pengilangan Baik dan 26 kilang memperoleh sijil Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal.
Menurutnya, sejak Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) diperkenalkan pada Jun 2012, sebanyak 221 premis Perusahaan Kecil dan Sederhana di Perak telah memperolehnya.
Sementara itu Pegawai Audit Halal JAIPk, Azrul Hisyam Abdul Rahim berkata satu daripada dua kilang berkenaan mempunyai sijil halal yang meragukan manakala sebuah lagi tidak mempunyai sijil halal. – BERNAMA
No comments:
Write comments