TAWAU - Polis menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan pada Jumaat lepas dan semalam selepas dipercayai terlibat dalam kejadian kes pecah rumah di sebuah studio di Bandar Sri Indah di sini, Januari lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pada Jumaat lepas suspek pertama, berusia 37 tahun, ditahan kira-kira pukul 6.15 pagi di Jalan Bunga Raya selepas ditangkap oleh orang awam ketika sedang memecah masuk rumah seorang penduduk di taman berdekatan.
"Keesokan harinya (semalam) kira-kira pukul 3 petang suspek kedua ditahan di Jalan Tanjung Batu Laut selepas sepasukan anggota menahan sebuah kenderaan ketika melakukan operasi, dan polis menemui sebilah parang diubahsuai sepanjang 21 inci di dalam kereta suspek yang dipercayai untuk pecah rumah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Fadil berkata, susulan penahanan kedua-dua suspek, pelbagai jenis barangan alat muzik termasuk tiga unit gitar elektrik yang ditemui semula di sebuah rumah di Jalan Sin Onn kira-kira pukul 4.16 petang semalam.
Pada 27 Januari lepas, seorang jurutera berusia 39 tahun kerugian kira-kira RM200,000 selepas studio menyimpan peralatan muzik miliknya dipecah masuk dan menyebabkan barangan di dalamnya hilang termasuk studio monitor dan gitar elektrik.
Fadil berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Katanya, salah seorang suspek pernah memiliki rekod kesalahan lampau dan kedua-duanya melalui pendedahan awal mengaku terlibat dalam beberapa siri kes curi dan pecah rumah sekitar kawasan Sin Onn. - Bernama
No comments:
Write comments