KOTA KINABALU: Industri seni di negeri ini akan mati jika hak cipta, hasil tangan para penggiat seni terus diabaikan kata Pengerusi Eksekutif Sky Laser Enterprise Sdn Bhd Datuk Verdon Bahanda.
Sebagai salah satu langkah menyelesaikan masalah ini, satu sesi perbincangan hala tuju dan persepakatan penggiat seni Sabah dalam era digital yang dianjurkan oleh SKYLINEPRO telah diadakan di Pacific Sutera Harbour, hari ini.
Ketika ditemui media sempena program berkenaan, Verdon berkata, para penggiat seni berhadapan dengan situasi yang semakin mencabar di era ini kerana dipengaruhi oleh perkembangan dalam penggunaan digital.
“Senario sekarang kita boleh andaikan, pagi ini kita mula membuat jualan album, petang nanti kita sudah boleh menemui album berkenaan dijual di pasar-pasar malam.”
“Perkara ini harus diberikan tumpuan dan langkah penyelesaian juga perlu diambil segera kerana untuk menghasilkan sebuah album ia memerlukan kos yang tinggi,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa, syarikatnya bersedia untuk menubuhkan satu badan guaman sebagai salah satu langkah penyelesaian masalah ini.
“Anggaran kerugian akibat masalah ini mungkin mencapai jutaan ringgit dan saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi sudah sampai masanya kita perlu mengambil langkah drastik untuk menyelesaikan masalah ini.”
“Salah satu langkah yang kita akan ambil adalah, bagi penggiat seni yang bernaung di bawah syarikat Sky Laser Enterprise, saya akan melantik panel peguam untuk mengkaji dan mencari langkah penyelesaian berhubung masalah ini,” katanya.
Verdon juga menyatakan bahawa, syarikat beliau juga bakal melancarkan satu saluran TV yang dijangka akan mendapat kelulusan pelancaran pada bulan Mei atau Jun tahun ini.
“Proposal saluran TV ini telah diserahkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan mendapat sokongan serta persetujuan daripada beliau untuk dilancarkan.”
“Saluran TV ini akan memberi tumpuan khusus kepada program-program terbitan anak jati Sabah dan Sarawak kerana ketika ini saluran TV yang diterajui oleh anak jati Sabah dan Sarawak sangat terhad,” katanya.
Rancangan yang akan disiarkan melalui saluran TV berkenaan meliputi pelbagai program termasuklah hiburan dan lakonan atau penerbitan filem tempatan dan memberikan tumpuan utama kepada program yang melibatkan kedua-dua negeri ini kerana setakat ini program yang diterbitkan oleh kedua-dua negeri ini tidak mencapai 40 peratus kuota untuk Sabah dan Sarawak. - Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah
No comments:
Write comments