Wednesday, 22 February 2017

74 mayat terdampar di pantai


Tripoli: Sebanyak 74 mayat pelarian yang lemas di Laut Mediterranean dalam usaha untuk ke Eropah, ditemui terdampar di pantai Libya, berdekatan bandar raya ini, hari ini.

Menurut kenyataan Persekutuan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, penduduk di perkampungan Harcha, dekat Zawiya, kira-kira 45 kilometer dari Tripoli, menghubungi pihak berkuasa selepas menemui bot yang pecah dengan mayat di dalamnya.

Pihak berkuasa dan anggota Bulan Sabit Merah kemudian menemui lebih banyak mayat terdampar di pantai. 

Reuters melaporkan, jurucakap Palang Merah di Libya, Mohamed al-Misrati, berkata mangsa dipercayai lemas sejak dua hari lalu, dan semuanya dewasa, termasuk tiga wanita dari negara sub-Sahara Afrika. 

Pihak berkuasa kini melancarkan gerakan mencari dan yakin lebih banyak mayat akan diemui. 

Libya ialah pusat pelepasan bot haram membawa pelarian ke Eropah menuju Greece, biasanya menggunakan bot nelayan yang sudah usang atau bot getah yang tidak selamat dengan harapan akan diselamatkan kapal pihak berkuasa Eropah bagi membolehkan mereka masuk ke benua itu. 

Tahun lalu, lebih 180,000 pelarian menyeberang dari Libya ke Itali dengan 4,500 atau lebih mati lemas. 

Selain pelarian dari negara Afrika yang melarikan diri dari kemiskinan, pelarian lain termasuk dari Syria dan Iraq yang diancam peperangan. – Agensi/HMetro

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments