NGHIA BING (Vietnam) – Keluarga wanita Vietnam yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam mengesahkan identitinya.
Tetapi tidak percaya dia sengaja mengambil bahagian dalam pembunuhan itu.
Bercakap dari rumahnya di wilayah Nam Dinh, Doan Van Thanh, 63, mengesahkan Doan Thi Huong, 28, adalah anaknya namun tidak percaya dia mampu melakukan jenayah seperti itu.
“Bagaimana dia berani membuat sesuatu yang sangat mengejutkan itu?
“Dia takut dengan tikus dan kodok. Dia takkan berani melakukannya (pembunuhan),” katanya.
Van Thanh, seorang veteran Perang Vietnam yang terputus pergelangan kaki kanan akibat letupan periuk api berkata, polis melawatnya selepas Thi Juong ditahan bagi mengesahkan identiti selain menawar bantuan menjaga hak asasi.
Van Thanh berkata, anaknya meninggalkan kampung itu kira-kira 10 tahun lalu untuk menyambung pelajaran di sekolah farmasi di Hanoi dan kadang-kala pulang.
Thi Huong kali terakhir menemui keluarga ketika sambutan Tahun Baharu Cina hujung Januari lalu apabila pulang selama lima hari.
Sementara itu, anak saudaranya, Dinh Thi Quyen, 18, mempercayai Thi Juong diperdaya mengambil bahagian dalam pembunuhan itu.
“Emak saudara saya seorang yang bagus dan baik tetapi senang percaya kepada orang lain.
“Saya percaya dia ditipu,” katanya.
Thi Quyen berkata, Thi Huong memanggilnya pada 14 Februari lalu iaitu sehari selepas kejadian itu dan memintanya membeli kad prabayar telefon supaya dapat memindahkan nilai kad itu kepada kedai di Hanoi sebagai deposit bagi baju yang disukanya.
Thi Quyen berkata, dia membeli kad prabayar itu dan menghantar nombor ke Thi Huong namun tidak pasti jika kedai itu menerimanya.
Katanya, selepas mendapat tahu Thi Huong ditahan di Malaysia, ahli keluarga cuba menghubunginya tetapi gagal.
Thi Huong, seorang lagi suspek wanita Indonesia serta dua lelaki Korea Utara dan Malaysia ditahan Polis Diraja Malaysia berhubung kes pembunuhan Jong-nam.
Dalam kejadian 13 Februari lalu, Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un maut selepas dikatakan disembur dan ditekup dengan kain mengandungi cecair racun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Media nasional Vietnam membuat laporan menyeluruh mengenai pembunuhan Jong-nam namun hanya melaporkan penahanan seorang warga Vietnam, kelmarin. – AFP/myMetro Online
No comments:
Write comments