Wednesday, 22 February 2017

Wanita bosan hidup membujang kahwini diri sendiri


Rotherham (Britain): Kerana bosan sudah lama hidup membujang, seorang wanita di sini merancang untuk berkahwin dengan dirinya sendiri.

Lynnen Gollogly, 39, berkata, selepas lama hidup membujang, dia tiada keinginan untuk menjalinkan sebarang hubungan dan gembira hidup seorang diri. 

“Saya pernah bertunang sebelum ini tetapi ia keputusan bodoh dan akhirnya tiada apa yang berlaku. 

“Saya juga tidak mahu terus berkahwin dengan mana-mana lelaki semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat,” katanya. 

Menurutnya, dia merancang melangsungkan perkahwinan dengan dirinya pada April ini, malah sudah membeli gaun pengantin untuk majlis berkenaan. 

Lynnen juga mahu majlis itu berlangsung seperti perkahwinan sebenar yang lengkap dengan majlis angkat sumpah, tetamu, parti dan berbulan madu. 

Walaupun dia tidak boleh mendaftarkan perkahwinan itu secara sah, Lynnen berharap majlis itu akan diingati sampai bila-bila. 

“Saya mahu majlis ini menjadi sesuatu yang penting dan berharga,” jelasnya. 

Kata Lynnen, keluarganya tidak menghalang apabila dia memberitahu mereka mengenai hasratnya untuk berkahwin dengan diri sendiri. 

“Ini impian saya sejak dahulu. Disebabkan belum bertemu jodoh lagi, saya akan meneruskan perkahwinan ini tanpa pengantin lelaki,” katanya. – Agensi/HMetro

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments