Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dituntut memberikan penjelasan mengapa harga petrol dinaikkan 20 sen mulai hari ini ketika harga minyak mentah dunia merosot sedikit bulan lalu.
Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, orang ramai yang baru saja menghabiskan cuti tahun baru Cina mendapat kejutan dengan kenaikan harga RON95 dan RON97 menjadi masing-masing RM2.30 dan RM2.60 bagi setiap liter.
Diesel pula naik 10 sen menjadi RM2.15 seliter.
Kata Pua, kenaikan terbaru itu adalah 9.5 peratus untuk RON95, 8.3 peratus untuk RON97 dan 4.9 peratus bagi diesel.
"Bahawa (kenaikan harga memang) menyakitkan, rakyat Malaysia mungkin boleh memahami apabila bahan bakar itu dinaikkan pada Januari. Ia adalah kesan kenaikan harga minyak mentah dunia pada Disember.
"Harga minyak mentah Brent naik daripada AS$51.48 satu tong menjadi AS$56.73 pada Disember 2016.
“Bagaimanapun, rakyat tidak dapat memahami mengapa harga minyak naik untuk Februari apabila harga minyak mentah Brent sebenarnya merosot sedikit pada Januari, menjadi kira-kira AS$55.86 bagi setiap satu tong," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenaikan terbaru itu berkuat kuasa sejak 12 tengah malam tadi dan menjadikan harga minyak berada pada tahap tertinggi sejak Januari 2016.
Kerajaan sebelum ini mengawal harga minyak dengan memberikan subsidi sehinggalah Putrajaya memutuskan bahawa harganya dikaji sekali bagi setiap bulan mulai 1 September 2008.
Ada cukai tersembunyi
Mulai September 2009 pula minyak RON95 diperkenalkan bagi menggantikan RON92 dan harganya masih dikawal kerajaan. Pada masa sama RON97 pula menjadi minyak premium dan harganya diapungkan separa mengikut pasaran.
Mulai 21 November 2014 pula Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek mengumumkan harga pasaran untuk petrol akan berubah-ubah mengikut kaedah "pengapungan terkawal".
"Ini bermakna, jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit RON95 dan diesel juga akan meningkat. Begitu juga sebaliknya," katanya.
Pua yang juga setiausaha publisiti DAP berkata alasan bahawa kenaikan petrol mulai 1 Februari ini disebabkan kejatuhan nilai ringgit juga sukar diterima.
Pada Disember 2016, katanya, nilai tukaran ringgit berbanding AS$1 ialah menurun daripada RM4.38 kepada RM4.48.
Bagaimanapun, kata Pua, bulan lalu ringgit didagangkan pada kira-kira RM4.42 berbanding dolar AS dan ia sedikit kukuh berbanding bulan sebelumnya.
"Oleh itu, kenaikan harga bahan api ini bukan kesan daripada kenaikan harga minyak mentah atau penyusutan nilai ringgit.
"Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan perlu menjelaskan mengapa harga petrol meningkat begitu ketara," katanya, sambil menambah kementerian kewangan juga perlu mendedahkan sama ada kerajaan sebenarnya mengenakan cukai tersembunyi kepada pengguna untuk menutup kekurangan belanjawan kerajaan.
Sementara itu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata tidak ada sebab untuk kerajaan menaikkan harga minyak ketika ini.
"Perdana menteri sepatutnya tampil segera memberikan penjelasan mengapa kenaikan harga petrol dan diesel ini berlaku.
"Pada masa yang sama, saya menggesa agar kerajaan mempertimbangkan semula subsidi minyak serta mengurangkan kadar cukai barangan dan pekhidmatan (GST) demi meringankan beban yang dipikul rakyat pada ketika ekonomi suram ini," katanya dalam kenyataan berasingan. - Malaysiakini
No comments:
Write comments