MENJADIKAN kanak-kanak sebagai sasaran, itu modus operandi seorang wanita bertudung yang memperdayakan seorang kanak-kanak perempuan sebelum meragut rantai emas miliknya di sebuah pasar raya, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang di pasaraya GM Klang Taman Botani itu, ibu mangsa mendakwa anaknya telah diragut oleh wanita terbabit ketika dia sedang membelek baju di ruangan pakaian di pusat beli belah itu.
“Sedang saya membelek baju, tiba-tiba anak menangis dan lehernya pula merah. Lalu dia tunjukkan kepada saya seorang wanita di kedai sebelah.
“Saya terus bertanya kepada wanita itu sama ada dia telah meragut rantai anak saya namun dia menafikan,” katanya yang dikenali sebagi Aimi Filzah di laman sosial.
Menurut Aimi, dia kemudian terus membawa wanita itu ke belakang premis dan memeriksa seluruh badannya termasuk beg tangan yang dibawa.
“Saya tidak temui apa-apa namun saya masih curiga dengan reaksi wanita itu lalu saya meminta pekerja premis untuk membuka cctv dan dia masih menafikan.
“Anak saya pula terus menangis dan menunjuk ke arah wanita itu, dan apabila saya melihat reaksi wanita itu, saya dapati rantai anak saya betul-betul berada di bawah kakinya, iaitu di lantai tempat wanita itu berdiri.
“Lalu saya mengambil rantai itu dan menggesa pekerja memangil pihak sekuriti,” katanya.
Aimi turut memuat naik gambar suspek dan mendedahkan wanita bertudung itu merupakan individu sama dalam kejadian yang dirakam CCTV pada tahun lalu.
“Ini bukan kali pertama dia melakukanya. Saya juga jumpa rakaman cctv dia meragut rantai kanak kanak lain tahun lepas,” tulisnya di pautan video.
Perkongsian dari Aimi itu mendapat perhatian netizen khususnya dari kalangan ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan berhubung kes ragut ini.
Sehingga kini, postingnya itu telah dikongsi sebanyak 4,700 kali dan video aksi wanita itu pula ditonton hampir 400 ribu kali. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments