Friday 26 May 2017

Berhati-Hati! Dalam Kurma Rupanya Ada Lipas


BULAN Ramadan dan buah kurma sangat sinonim. Sudah tentu setiap rumah umat Islam pasti tidak kurang akan ada sekotak buah kurma untuk diambil ketika sahur mahupun berbuka puasa.

Khasiat buah kurma ini tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia mampu memberi tenaga kepada mereka yang mengambilnya sekali gus melancarkan proses berpuasa selama sebulan.

Namun, kecoh menerusi media sosial baru-baru ini apabila seorang wanita mendedahkan terdapat bubuk dan anak lipas dalam buah kurma yang dibelinya.

Menerusi perkongsian Facebook Siti Norbaya Binti Sabaran, dia memuat naik beberapa keping gambar buah kurma yang mengandungi bubuk dan anak lipas di dalamnya.


Dia berpesan supaya kurma yang dibeli dibasuh seketika dan ditos sebelum dimakan kerana selepas dipetik ia bukan terus dimasuk dalam kotak sebaliknya dicampakkan ke tanah yang kebersihannya diragui.

Siti Norbaya turut menyarankan sebelum memakan kurma sebaiknya ia di belah untuk melihat isinya.

Ini sebenarnya untuk mengelak termakan apa yang didakwa sebagai anak lipas di mana menurutnya biasa terdapat dalam kurma.

“Setiap kali beli kurma mesti ada anak lipas atau bubuk, tidak kira kurma mahal atau murah.

“Benda ini bukan sekali terjadi dan setiap kali beli kurma, kalau buka mesti ada, bukan sebiji tetapi berbiji-biji.

“Akak nie pesan jer, tak nak la korang pun makan lipas juga, lagi sedap makan nasi dari makan lipas,” tulisnya.

Siti Norbaya turut menegaskan dalam postingnya berkata, perkongsian maklumat mengenai kurma yang mengandungi lipas itu bukan untuk menjatuhkan perniagaan individu yang menjalankan bisnes jual buah kurma.

“Saya share status ni pun bertujuan untuk mengingatkan semua orang-orang di luar sana tentang kebersihan dan kesihatan sahaja, fikir positif,” tulisnya.

Jadi, kepada netizen yang mendapatkan buah kurma untuk bulan Ramadan ini, berhati-hati dan periksa dahulu sebelum makan bagi mengelakkan daripada tertelan anak lipas atau bubuk. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments