Thursday 25 May 2017

Anak Cikgu Hilang Lepas Ambil Adik Balik Sekolah


SEORANG remaja perempuan dilaporkan hilang sejak tengah hari Selasa lalu selepas keluar mengambil sepupu dan adiknya di Sekolah Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam, Selangor.

Kehilangan remaja berusia 19 tahun itu menjadi tular di media sosial selepas ibu saudaranya berkongsi gambar anak sulung daripada lima beradik itu di Facebook.

Harian Metro melaporkan, Aina Sakinah Mohd Noor Azmi tidak pulang ke rumah malah kelibatnya juga tidak kelihatan di sekitar sekolah berkenaan sehingga lewat petang hari kejadian.

Ibunya, Misriah Mohamad Sani, 44, berkata, sebelum kejadian dia tiada di rumah dan meminta Aina menjemput adiknya, Maryam Adawiyah, 7 dan seorang lagi sepupu lelaki berusia tujuh tahun di sekolah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah.

“Sebelum keluar rumah, dia minta izin neneknya terlebih dulu untuk ke kedai dan dia berjalan mengambil adik perempuannya di sekolah itu pada 12.30 tengah hari.

“Namun, adiknya pulang sendirian ditemani sepupu lelaki dan menyatakan kakaknya tidak mengambilnya di sekolah,” katanya.

Misriah yang juga seorang guru berkata, anaknya itu tidak membawa telefon bimbit walaupun tidak pernah meninggalkannya jika keluar rumah sebelum ini.

Menurutnya, dia memang terkejut selepas dimaklumkan ahli keluarga mengenai Aina tidak pulang selepas keluar rumah tengah hari Selasa lalu.

Jelasnya, Aina seorang anak yang baik dan tidak gemar bersosial serta akan meminta izin sebelum keluar dari rumah.

Katanya, dia dan suami, Noor Azmi Ismungin, 45, sudah membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam berhubung kehilangan Aina.

Misriah berkata, sebelum hilang, Aina memakai baju muslimah berwarna oren dan bertudung merah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments