Sunday 28 May 2017

Beri Buaya Minum Bir, Dua Lelaki Didakwa


PADAH memberi seekor anak buaya minum bir, dua lelaki berdepan dakwaan di mahkamah selepas gambar perlakuan itu tersebar.

WMBF News melaporkan, Joseph Andrew Fliyd, 20, dan Zacary Lloyd Brown, 21, dari Ridgeland South Carolina, Amerika Syarikat menemui haiwan berkenaan sedang melintas ketika memandu dari Hardeeville dan Tillman.

Mereka kemudiannya menangkap haiwan berkenaan sebelum menuangkan bir ke dalam mulutnya, mengambil gambar sebelum melepaskannya semula ke kolam berdekatan.

Menurut kenyataan dari Jabatan Sumber Asli South Carolina (SCDNR), dua lelaki berkenaan didakwa atas tuduhan melakukan penderaan terhadap buaya.

Gambar berkenaan pada awalnya muncul di Snapchat sebelum paparan skrinnya telah dikongsikan oleh pemilik akaun Facebook lain.

Kes itu mula disiasat oleh SCDNR selepas agensi itu menerima berpuluh-puluh mesej dan emel daripada orang ramai berhubung penyebaran gambar itu.

Menurut SCDNR, kedua-dua lelaki terbabit boleh dikenakan denda maksimum AS$300 (RM1,281) dan hukuman itu akan ditentukan dalam masa terdekat. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments