Friday 26 May 2017

Abadikan ‘Kopi O’ Pada Plat Kereta Baru


JIKA anda pernah menjejak kaki ke California, Amerika Syarikat (AS) dan terlihat sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan nombor pendaftaran kenderaan “Kopi O”, jangan panik.

Dia bukan pemandu yang mendapat lesen ‘kopi O’ tetapi mahu menunjukkan betapa dia suka dengan kehidupan di Malaysia.

Selepas pulang dari penggembaraan mengelilingi dunia, Scott Burkhalter, 29, memutuskan untuk mendaftar nombor pendaftaran kenderaan itu untuk kegunaan peribadi.

Ini kerana dia amat menggemari minuman kopi-O semasa kunjungannya ke Malaysia.

“Saya suka kopi dan memandangkan kereta saya berwarna hitam, saya fikir perkataan black coffee paling sesuai diletakkan di atas plat berwarna hitam itu.

“Perkataan dalam bahasa Inggeris okay tetapi saya fikir ia akan jadi lebih unik jika saya kaitkan ia dengan pengalaman pengembaraan saya.

‘Kopi O’ pilihan yang sesuai!,” kata Burkhaltr yang juga pemandu trak tunda untuk jabatan polis.

Sepanjang pengembaraan selama 26 bulan, Burkhalter dan teman wanitanya, berkunjung ke Australia, Asia Tenggara, India dan Eropah.

Mereka turut melancong ke Semenanjung Malaysia tahun lalu dan berhasrat meninggalkan negara itu selepas hanya tiga minggu kerana merasakan tidak ‘serasi’.

Namun, segalanya berubah apabila mereka dijemput sebuah syarikat pelancongan yang menyediakan aktiviti outdoor, Radak Adventure sebagai sukarelawan di rumah tamu syarikat tersebut yang terletak di Gopeng, Perak.

“Kami membantu menyediakan pembukaan Gopeng Guesthouse, bekerja di kem sungai, menikmati suasana Ramadan bersama kru kami dan minum banyak kopi-O.

“Dua bulan berlalu dan saya mula mencintai Malaysia. Saya ada ramai kawan baharu dan cuba memahami kehidupan rakyat tempatan,” katanya.

Pengasas Radak Adventure, Mohd. Hasrol Kamis, yang memperkenalkan minuman itu kepada Burkhalter berkata warga AS yang lasak itu minum kopi-O setiap pagi.

“Hari ini dia hantar SMS kepada saya. Dia kata baru sahaja beli kereta baru, dapat kerja baru di AS. Jadi dia akan letak lesen plat ‘Kopi O’ untuk menunjukkan dia benar-benar suka dengan minuman itu dan mahu kembali ke Malaysia,” kata Mohd. Hasrol.

Burkhalter berkata minatnya terhadap kopi-O ibarat cinta pada rasa pertama. – mStar Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments