Saturday 27 May 2017

Tak Pakai Topi Keledar, Mufti Wilayah Minta Maaf


EKORAN tindakannya bonceng motosikal tanpa memakai topi keledar, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri membuat permohonan maaf kepada agensi penguatkuasaan.

Beliau malah meluahkan perasaan kesal susulan insiden tersebut yang tidak disengajakan menerusi laman sosial rasminya.

Menerusi posting yang dimuat naik itu, Zulkifli memaklumkan dia berbuat sedemikian ketika terlibat dalam program cerapan anak bulan Ramadan di Menara Kuala Lumpur pada, Jumaat petang.

“Mungkin ada yang ternampak kami membonceng motosikal tanpa memakai helmet sebentar tadi.

“Memandangkan jalan raya agak sesak serta tidak mahu menyusahkan penganjur dan kelancaran majlis dek terperangkap dalam jalan raya, keputusan diambil untuk membonceng motosikal ini.

“Justeru, kami ingin melafazkan permohonan maaf kepada pihak PDRM dan JPJ atas tindakan ini. Diharapkan tidak timbul salah faham atas tindakan yang telah dilakukan,” tulisnya.

Menerusi gambar yang dimuat naik itu, Zulkifli dilihat mengenakan jubah kelabu sambil mengenakan serban membonceng motosikal dari pandangan arah belakang.

Gambar itu dipercayai dirakam oleh pengguna jalan raya lain.

Dalam posting itu, Zulkifli turut memberi ucapan selamat menyambut Ramadan kepada semua rakyat Malaysia. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments