Thursday 25 May 2017

Bimbang Dibom, Peminat Gesa Bieber Batal Konsert


WASHINGTON DC – Peminat merayu Justin Bieber agar membatalkan konsert di Britain ekoran serangan bom pada konsert Ariana Grande yang meragut puluhan nyawa di Manchester kelmarin.

Media tempatan melaporkan Bieber, dijadual mengadakan konsert terbuka di Hyde Park, London jam 1 tengah hari pada 2 Julai depan selepas jelajah di Millennium Stadium, Cardiff, Wales pukul 4 petang pada 30 Jun.

Sebelum itu, beliau akan menemui peminat menerusi konsert di RDS Arena, Dublin, Ireland pada 21 Jun depan. Selepas Britain, Bieber bakal ke Denmark, Norway, Sweden, Switzerland, Itali, Perancis dan Jerman.

Bagaimanapun para peminat dikatakan mula membanjiri laman media sosial penyanyi berusia 23 tahun itu untuk menggesa pembatalan konsert demi keselamatan nyawa kedua-dua peminat dan beliau sendiri.

“Saya dapat jangka ramai ibu bapa kepada anak muda yang mungkin bimbang untuk melepaskan anak mereka berusia 12 tahun pergi ke konsert,” kata Ed McPherson, peguam hiburan dan pengurus krisis di Los Angeles.

Keadaan itu mungkin menyebabkan ibu bapa berasa keberatan untuk mengizinkan anak mereka menghadirinya dan menjejaskan artis yang membuat persembahan kepada sasaran penonton yang lebih muda.

Joe Reinartz, editor berita Pollstar berkata, walaupun percaya bahawa tahap keselamatan sudah diperketatkan di lokasi-lokasi konsert dan pasti akan terus dipertingkat, ibu bapa tetap juga akan berhati-hati.

Menurut beliau, dalam masa terdekat ini, orang ramai akan berasa bimbang terhadap sebarang perhimpunan besar-besaran yang dihadiri oleh golongan muda, dan ini bukan setakat persembahan Bieber sahaja.

Bahkan ia bakal turut melibatkan perlawanan bola sepak remaja di sekolah menengah ataupun program karnival komuniti setempat di kawasan tanah lapang. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments