Sunday 28 May 2017

Kedai Makan Dikenakan Notis, Makanan Disita


KUALA TERENGGANU – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu mengadakan pemeriksaan di sebuah kedai makan yang dikatakan mengenakan caj tidak munasabah kepada pengguna hingga menjadi tular di media sosial.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan Rabu lalu, PPDNKK mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan ntipencatutan 2011 kerana mengenakan caj harga yang tidak munasabah.

Pengarah PPDNKK Terengganu, Azlan Abdul Samat berkata, selain notis pihaknya turut menyita tiga jenis lauk iaitu 13 ketul ikan siakap, 10 biji telur rebus dan 52 ketul hati pedal kerana ia gagal pamerkan tanda harga.

“Bagaimanapun pemeriksaan bagi makanan yang dicaj tinggi tidak dapat dijalankan berikutan ia tidak dipamerkan pada hari tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Minggu lalu seorang pengguna Facebook memuat naik status makanan yang diambil di kedai makan berkenaan dan dikenakan harga yang tidak munasabah.

Dia dicaj sebanyak RM32 bagi sepinggan nasi berlaukkan seekor udang galah, dua potong sotong dan sayur kangkung.

Dia yang terkejut dikenakan caj itu kemudiannya mengambil gambar hidangan berkenaan dan memuat naik di media sosial.

Tindakannya itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi daripada netizan yang mana rata-ratanya mengecam tindakan pemilik kedai makan itu. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments