Saturday 27 May 2017

Lagi Produk Qu Puteh Diharamkan KKM


Jenama popular yang menjadi buah mulut ramai, Qu Puteh sekali lagi menerima tamparan hebat apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengharamkan satu lagi produk keluarannya.

Larangan penjualan krim Qu Gebu AP krim itu diumumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, semalam.

Selain daripada jenama milik jutawan terkenal, Datuk Seri Vida itu, enam jenama tempatan lain turut dikesan mengandungi racun berjadual.

Produk tersebut ialah Night Glowing, Night Glow, Glowing Speed Gold Day Cream, Glowing Speed Gold Night Cream, Nour Ain Night Cream dan Royal Expert Whitening Cream.

Menurut Noor Hisham, racun-racun berjadual yang dikesan di dalam produk-produk berkenaan adalah merkuri, hidroquinon dan tretinoin.

“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hidroquinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan.

“Ia boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Malah ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan,” tulis kenyataan itu.

Justeru, orang awam diminta berhenti segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Manakala, individu yang dikesan masih lagi menjual produk yang dinyatakan tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

Terdahulu, KKM pernah mengharamkan penjualan Qu Puteh Whitening Pro 9 selepas ujian mendapati krim pemutih ini mengandungi paras merkuri, atau raksa, yang tinggi. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments