Wednesday, 22 February 2017

“Buat Apa Tiga Tahun Di Malaysia?”


SUSPEK keempat yang ditahan berhubung kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam menetap di Malaysia lebih tiga tahun tanpa bekerja di syarikat yang dinyatakan dalam permitnya ataupun menerima gaji.

Ri Jong Chol, 47, mempunyai visa kerja Malaysia yang menunjukkan dia merupakan kakitangan di Tombo Entreprise.

Bagaimanapun, menurut pemilik syarikat itu, Chong Ah Kaw memberitahu Jong Chol tidak pernah masuk bekerja atau menerima gaji daripada syarikatnya.

Ak Kaw berkata, dia hanya memudahkan visa kerjanya dengan menyatakan dalam dokumen sokongan bahawa Jong Chol adalah pengurus pembangunan produk di Jabatan Teknologi Maklumat dengan gaji RM5,500 sebulan.

“Ia hanya formaliti, hanya dokumen. Saya tidak pernah membayar gajinya. Saya tidak tahu bagaimana dia hidup di sini. Saya tidak tahu di mana dia mendapat duit,” kata Ah Kau memetik laporan Harian Metro.


Ah Kaw yang kerap berkunjung ke Korea Utara berkata, dia hanya cuba ‘membantu’ Jong Chol.

Katanya, Jong Chol menyewa apartmen di Kuchai Lama dan anak perempuannya menuntut di HELP University. Perkara ini disahkan HELP University.

Ah Kaw berkata, dia mula-mula berkenalan dengan Jong Chol pada 2013 apabila warga Korea Utara itu bertemunya di Kuala Lumpur.

Katanya, Jong Chol bersaudara dengan pencipta ekstrak cendawan yang mempunyai kesan anti-kanser, Dr. Mun Ho.

Mereka membincang peluang perniagaan, seperti import minyak sawit, dengan anak perempuan Jong Chol sebagai penterjemah. Bagaimanapun, perbincangan itu tidak membuahkan hasil, katanya.

Kedua-dua mereka bertemu buat kali terakhir pada Januari lalu.

Ah Kau sudah disoal polis dan berkata, dia sedia menghadapi apa-apa tindakan akibat menyerahkan maklumat palsu kepada kerajaan. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments