Wednesday 22 February 2017

Bau busuk rupanya bangkai ular sawa lapan meter


KULIM - Beberapa pekerja pembersihan di kawasan Taman Kulim Hi Tech Fasa 2 yang terhidu bau busuk ketika mencuci longkang terkejut menjumpai bangkai seekor ular sawa batik dipercayai tersangkut pada saluran paip di situ.

Menurut seorang pekerja yang enggan dikenali, pada jam 7.30 pagi beberapa orang pekerja sedang menjalankan rutin harian untuk membersih kawasan perumahan di situ.

Katanya, ekoran bau itu, mereka pergi memeriksa dan terkejut melihat bangkai ular itu tersangkut di satu saluran paip.

"Rakan cuba menguis ukar tersebut namun tidak bergerak, dan dipercayai telah mati beberapa hari lalu kerana baunya yang busuk.

"Ular itu mungkin cuba menyusup masuk ke dalam salur paip yang bersaiz lebih kurang 12 sentimeter besar namun tersekat separuh badan kerana badannya besar," katanya.

Katanya, penemuan itu sangat mengejutkan dan pertama kali melihat ular sebesar itu di hadapan mata sendiri.

"Ular tersebut telah diangkat menggunakan jentolak ke dalam lori sampah untuk di bawah ke tempat pelupusan," katanya.

Selain itu, seorang penduduk taman perumahan berkenaan Azam Haris, 31 berkata dia telah menjumpai bangkai ular sawa itu ketika beriadah di kawasan taman permainan di situ.

"Setiap petang saya berjoging di trek jalan kaki di taman permainan, tapi semalam ada bau busuk seperti bangkai.

"Saya yang curiga terus jengok ke dalam longkang kecil sebelah longkang besar di sini dan ternampak bangkai ular sawa di situ, memang terkejut ia sangat besar," katanya. - Sinar Harian

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments