Wednesday, 22 February 2017

Histeria sebelum daki Gunung Datuk

Di pangkal pokok besar inilah dikatakan menjadi lokasi pelajar perempuan diserang histeria pada 1979.

PERISTIWA salah seorang pelajar perempuan diserang histeria di pangkal pokok besar semasa baru sahaja ingin memulakan pendakian ke Gunung Datuk, tidak mungkin dilupakan salah seorang penduduk di Rembau.

Ishak Yusuf, 54, yang lebih dikenali dengan nama pena Waghih Lapan berkata, walaupun peristiwa itu berlaku kira-kira 38 tahun lalu, sehingga kini masih segar dalam ingatannya.

Menurutnya, kejadian pada 1979 itu, seramai 40 pelajar termasuk guru pengiring melaksanakan aktiviti badan beruniform sekolah untuk mendaki Gunung Datuk.

Dia merupakan salah seorang pelajar yang menyertai aktiviti berkenaan dan kejadian histeria berkenaan berlaku betul-betul di hadapan matanya.

“Saya masih ingat lagi pelajar perempuan itu menjerit tak henti-henti, ada kalanya mendengus. Tenaganya juga begitu kuat sehingga tiga ke empat orang terpaksa pegang tangan dan kakinya yang sentiasa bergerak-gerak.

“Ada pelajar dan guru memanggil penduduk setempat bagi meminta bantuan. Ada seorang tua yang datang dan mengarahkan pelajar yang diserang histeria itu dibawa ke rumahnya serta menasihatkan agar aktiviti berkenaan tidak diteruskan,” katanya ketika menceritakan kepada Sinar Harian.

Ishak berkata, sebaik diubati di rumah penduduk itu, pelajar perempuan berkenaan pulih seperti biasa.

Menurutnya, salah seorang rakan pelajar perempuan yang diserang histeria berkenaan menyatakan mangsa tidak mendapat kebenaran ibunya untuk mendaki Gunung Datuk.

"Dia menipu ibunya untuk menyertai aktiviti badan beruniform berkenaan. Mungkin disebabkan niatnya itu telah menyebabkan aktiviti berkenaan tidak dapat diteruskan seawal memulakan pendakian lagi,” katanya.

Enggan ikut trek punca sesat

Dikatakan ada berkaitan dengan mistik, namun ada pula mendakwa sikap orang ramai mengambil ringan ketika mendaki menjadi punca mereka tersasar laluan ketika di Gunung Datuk, lantas tersesat.

Jika semalam Sinar Harian melaporkan sejarah dan sebahagian pengalaman mistik ketika mendaki puncak tertinggi di Rembau, Negeri Sembilan itu, paparan seterusnya berkaitan ulasan pihak berkaitan, sama ada kes pendaki sesat ada kaitan dengan gangguan 'penjaga' atau makhluk halus.

Ikuti siri akhir FOKUS HARI INI dikupas wartawan NOR AINNA HAMZAH, SYAMILAH ZULKIFLI dan KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB berhubung misteri di Gunung Datuk.

Berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, memang tidak dinafikan Gunung Datuk mencatatkan banyak kes membabitkan pendaki sesat.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, antara lapan gunung di Negeri Sembilan, Gunung Datuk mencatatkan jumlah pendaki sesat yang tertinggi di negeri ini.

Beliau bagaimanapun berkata, statistik sejak tahun lalu menunjukkan penurunan kepada empat kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 10 kes.

“Di Negeri Sembilan terdapat lapan lokasi pendakian iaitu Gunung Datuk, Gunung Berembun, Gunung Angsi, Gunung Telapak Buruk, Bukit Kampung Tangai, Bukit Melati, Gunung Besar Hantu dan Gunung Tampin.

"Ikut rekod kita, kes paling banyak berlaku di Gunung Datuk, di mana pada tahun 2015 melibatkan 46 mangsa, 13 mangsa tahun lalu dan satu mangsa tahun ini," katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai faktor seseorang pendaki boleh sesat. Antaranya, tidak mengikut trek laluan ditetapkan.

Bahkan, ada sesetengah pendaki yang suka mengambil jalan mudah dengan menggunakan laluan mereka sendiri sedangkan ia boleh mengundang risiko kepada mereka.

“Jabatan Perhutanan telah sediakan laluan untuk sampai ke puncak, jadi ikutlah laluan itu. Jangan hanya fikir mahu cepat sampai, tapi fikirkan soal keselamatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Norazam berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa sesat akan menjadi lebih sukar sekiranya ia berlaku pada waktu malam.

Selain itu, katanya, maklumat yang tidak tepat diberikan oleh mangsa juga menjadikan operasi mengesan mereka menjadi lebih sukar.

"Bagaimanapun, di lapan lokasi pendakian di negeri ini semuanya ada talian telefon. Jika pendaki hadapi masalah, mereka boleh terus hubungi sesiapa untuk dapatkan bantuan.

“Biasanya kita akan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Cuma ia jadi masalah apabila mangsa yang sesat ini di awal lagi pendakian tak ikut trek yang betul dan mereka pun susah nak beri penjelasan di mana lokasi sebenar,” katanya.

Sehubungan itu, Norazam menasihatkan pendaki supaya bersedia dari segi mental dan fizikal selain memaklumkan kepada ahli keluarga atau kenalan terdekat berhubung aktiviti dilakukan.

‘Makhluk halus itu ada di mana-mana’

Setiap individu yang ingin meneroka hutan rimba dan gunung-ganang terutama bagi tujuan riadah diingatkan supaya sentiasa jaga adab serta perilaku bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Nor Azamir Alias berkata, perlu difahami pelbagai makhluk ALLAH sama ada yang kelihatan atau tidak kelihatan pada mata kasar berada di dalamnya.

“Seeloknya sebelum memulakan perjalanan masuk ke hutan, baca dulu Surah al-Fatihah. Niatkan semoga diri mendapat keberkatan daripada surah berkenaan.

“Kemudian baca Surah an-Nas tiga kali dan dituruti dengan doa perjalanan yang selalu kita baca masa hendak menaiki kenderaan. Boleh juga ditambah dengan doa yang berbunyi: Aku berlindung dengan kalimah-kalimah ALLAH yang sempurna dari kejahatan sekalian makhluk’.

“Kalau tidak tahu doa dalam Bahasa Arab, boleh baca dalam Bahasa Melayu. Kalau tidak tahu doa yang khusus, baca saja apa-apa doa yang diketahui untuk keselamatan. Mohon pada ALLAH agar diri diberi perlindungan,” katanya.

Selepas itu, kata beliau, beri salam terlebih dahulu sebelum mula melangkah masuk ke dalam hutan dan mendaki.

“Tapi jangan pula beriktikad yang makhluk halus boleh mendatangkan mudarat. Tujuan beri salam hanya sebagai adab. Sama macam hendak masuk rumah orang lain, mana boleh main terjah saja.

“Bila dalam hutan atau daki gunung, jaga tingkah laku. Jangan cakap besar dan jangan sewenang-wenangnya patahkan dahan pokok tanpa sebarang keperluan. Haiwan dan unggas jangan disakiti.

“Jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling. Elak seronok keterlaluan. Jaga adab masa qada hajat (buang air),” katanya.

Ditanya kewujudan mahkluk halus di kawasan hutan rimba dan pergunungan, beliau mempunyai jawapan ringkas.

“Sebenarnya jin ada di mana-mana. Bukan setakat di hutan rimba dan gunung-ganang. Sebab itu sunat beri salam sebelum masuk ke dalam rumah, sepertimana disebut dalam surah an-Nur, ayat 61.

“Hakikat kewujudan makhluk ALLAH ini ada disebutkan dalam Surah adz-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud: ‘Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu’.

“Kemudian disebutkan pula dalam Surah al-Jin ayat 1 yang bermaksud: ‘Katakanlah (wahai Muhammad)’: Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya satu rombongan jin telah mendengar (al-Quran yang Aku bacakan).

“Lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: Sesungguhnya Kami telah mendengar al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!’,” katanya. - SH

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments