Wednesday 23 August 2017

Video Serangan Seksual Cetus Kemarahan


RABAT – Satu rakaman video seorang wanita muda diserang secara seksual oleh sekumpulan remaja lelaki dalam sebuah bas di Casablanca mencetuskan kemarahan dan perdebatan di Maghribi.

Video dimuat naik di media sosial pada Ahad lalu, memaparkan empat remaja lelaki mencabul secara seksual seorang wanita sambil ketawa, mengoyakkan pakaiannya serta menghinanya dalam bahasa Arab.

Menurut pihak berkuasa, wanita itu yang mempunyai masalah pembelajaran, dilihat menangis sambil meminta bantuan, namun tiada seorang pun penumpang atau pemandu campur tangan.

Gangguan seksual dan penderaan wanita berleluasa di Maghribi dan tinjauan di seluruh negara mendapati, hampir dua pertiga wanita pernah diganggu secara fizikal, psikologi, seksual atau domestik.

Awal bulan ini, rakaman video menunjukkan sekumpulan lelaki mengganggu seorang wanita di sebatang jalan di Tangier menimbulkan kekecohan di media.

Isnin lalu, pihak berkuasa Maghribi berkata, mereka menahan enam remaja lelaki berusia 15 tahun hingga 17 tahun untuk disiasat berhubung kejadian itu. – REUTERS/BH ONLINE

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments