Thursday 31 August 2017

Mengapa Tweet Ini Mendapat Lebih 20K RT?


BAHANA kekalahan pasukan bola sepak Malaysia dalam aksi final Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 baru-baru ini masih hangat mendapat perhatian ramai netizen.

Ia terus diperkatakan meskipun Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan temasya dwitahunan serantau terbesar Asia Tenggara itu dengan merangkul sebanyak 145 pingat emas.

Malahan kegagalan skuad Harimau Muda merebut ‘ibu segala pingat’ itu amat terkesan khususnya dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Semua sudah sedia tahu apa yang berlaku pada hari perlawanan, di mana Malaysia tumpas 0-1 pada Thailand akibat kegagalan penjaga gol yang menumbuk bola ke dalam gawangnya sendiri.


Kegagalan itu dilihat tidak dapat diterima oleh semua peminat. Bagaimanapun, masih juga terdapat pihak yang melihat episod kekalahan itu daripada sudut yang berbeza.

Antaranya terdapat seorang netizen dikenali sebagai amirhams mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin agar bajet untuk pembangunan pasukan bola sepak kebangsaan dikurangkan.

Menerusi kicauan yang dimuat naik netizen itu menerusi akaun Twitternya dia menulis :


“Salam @Khairykj so bola dah kalah ni. Apa kata kurangkan sikit kos pembangunan bola and naikkan hoki dan ragbi yang dah top 50 dunia. Ok?.” 

Dia kemudian mencadangkan agar menteri itu yan mesra disapa sebagai KJ dapat menaikkan peruntukan untuk pembangunan sukan hoki dan ragbi yang dilihat lebih menyerlah dalam Sukan SEA kali ini.

Menurutnya lagi, dua sukan ini sebenarnya adalah antara permainan yang begitu popular di arena antarbangsa sendiri sehingga telah dipertandingkan ke peringkat temasya Olimpik dan Komanwel.

Dalam pada itu, secara kebetulan pula pasukan Malaysia sendiri adalah jaguh bagi dua sukan ini di peringkat serantau dengan merangkul pingat emas ketika Sukan SEA 2017 baru-baru ini.

Pandangan jujur si netizen ini mendapat perhatian ramai pengguna media sosial lain.

Ada yang menyokong, ada yang menentang dan terdapat juga pihak meminta agar peruntukan bagi sukan polo dinaikkan ekoran pasukan tuan rumah mencipta kejayaan dengan meraih pingat emas.




Bagaimana pula dengan pandangan anda?

Apa pula kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor? Mana tahu mungkin baginda juga punyai pandangan yang tersendiri… – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments